Kursus Induksi, juga berlalu seperti angin. Dua hari diisi dengan 5 slot ceramah, yang saya rasa amat sangat bergantung kepada personaliti penceramah untuk menghidupkannya. Dan alhamdulillah kebanyakannya seronok dan inputnya berguna untuk didengar dan dihayati. Kalau penceramah duduk saja di kerusi selama 2 jam dan cakap berleter-leter, em..maaflah. Jangan salahkan audiens kalau semua orang buat muka toya sepanjang ceramah.
Ujian Kursus Induksi di hari terakhir. Tentang perintah am, dasar kerajaan, pekeliling pentadbiran awam, pengurusan, kewangan dan etika. Soalan objektif agak horror, tak boleh fikir logik dan sukar untuk 'ditembak' jawapannya. OK itu memang salah saya sebab tak study betul-betul nota komprehensif kursus yang diberi. Soalan esei, alhamdulillah, sebab kebanyakannya keluar tajuk-tajuk hot tahun ini - cuti haji, pengurusan mesyuarat, Wawasan 2020 dan kebetulannya, keluar soalan mengenai Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja yang juga merupakan tajuk tugasan saya sebelum menghadiri kursus. Alhamdulillah.
Kursus Induksi tamat dengan meninggalkan saya dan rakan-rakan sekelas dengan status 'pemiutang'. Oh sungguh rawan hati ini, terasa ingin berdemonstrasi saja apabila menerima notis 'Kutipan Semula Elaun Jun'. Apakah ertinya semua ini?
Saya merenung notis dengan rasa tidak percaya. Elaun bulan Jun yang menghiasi akaun tepat 1 Jun lalu wajib dipulangkan semula tepat-tepat jumlahnya RM 1336.71 kepada IPG! Dengan alasan terlebih bayar! Dan tambah mengeruhkan 'poket', yuran kolej kediaman yang tidak dipotong sejak dari bulan Januari juga dituntut bersama sebanyak RM 395.20, lalu menjadikan jumlah hutang saya kesemuanya berjumlah RM 1731.91!! Adoi...apart from loan kereta, tidak pernah saya berhutang sebanyak ini!!
Saya masih boleh terima jika saya diberi notis supaya dijelaskan yuran kolej kediaman yang tertunggak (walaupun ianya salah pihak kewangan yang tidak melakukan pemotongan elaun seperti semester sebelumnya tapi tidak mengapa kerana saya telah menghuni dan memanfaatkan segala kemudahan kolej kediaman hingga ke akhirnya!)
Saya akan berusaha untuk melangsaikan hutang berkenaan, sudah semestinya. Tetapi saya amat musykil apabila elaun bulan Jun ditarik balik secara tiba-tiba, tanpa penjelasan sewajarnya.
Kalau ada elaun, bukankah bermakna ada peruntukan dari IPG induk, yang juga datang dari kerajaan?
Bukankah sewaktu kami menandatangani kontrak perjanjian biasiswa Program Pelajar Cemerlang, 6 tahun lalu yang menyatakan elaun akan dibayar selama 12 bulan sewaktu mengikuti KPLI?
Kalaupun elaun itu ditarik kembali, maka wang itu akan kembali kepada siapa, dan untuk apa? Saya redha jika ianya untuk disalurkan kepada elaun pelajar lain yang miskin dan tidak berkemampuan, tetapi kalau dapat ke tangan mereka yang tidak sepatutnya, em....."lu fikirlah sendiri akibatnya"
Kalau tidak dibayar elaun Julai saya terima kerana urusan saya dengan IPG sudah selesai sepenuhnya, tetapi pada bulan Jun, saya telah berulang-alik ke Kedah untuk temuduga SPP dan Kursus Induksi - bermakna urusan rasmi saya dengan IPG belum selesai!
Tambahan 'mengeringkan' poket, saya dan rakan-rakan bukan berinduksi seperti yang selalunya kakitangan kerajaan lain dilayan. Kursus induksi yang saya tahu biasanya diadakan di hotel, peserta disediakan penginapan dan makan, sekurang-kurangnya sekali. Kami tidak minta dilayan dengan penuh kemewahan, juga tidak minta kursus induksi diadakan di hotel berbintang-bintang, kami cuma memohon untuk menginap (dengan bayaran) di kolej kediaman IPG, dan kalau tiada bilik yang available, bilik serbaguna yang tak berperabot itu pun tak apa! Ditawarkan tinggal di rumah sewa pelajar (dengan kadar bayaran yang lebih kurang sama dengan sebuah homestay untuk satu malam) yang terletak di bawah pengurusan yang sama, akan tetapi bagaimana hendak menginap kalau lantainya sekali pijak kaki bersalut sarang labah-labah, tandasnya pula rosak dan keadaannya tidak ubah seperti rumah 'Hantu Kak Limah' saja. Kesudahannya kami terpaksa menyewa homestay sendiri beramai-ramai, mencari alternatif pengangkutan sendiri, dan semua itu memerlukan pengaliran wang, obviously!
Setelah menempuh keadaan sedemikian, saya fikir elaun bulan Jun kami tidak berhak untuk ditarik kembali bukan?
Saya tidak bermaksud untuk menuding jari menyalahkan sesiapa, tetapi kita patut sama-sama berfikir dan bermuhasabah mengapa boleh terjadi perkara sedemikian.
Bekerjalah dengan telus dan amanah, kerana setiap detik pun kita tidak terlepas dari pandangan Allah!
No comments:
Post a Comment