Hendak jadi cerita, saya kehilangan dompet duit.
Tidak tahu bila hilangnya, sedar-sedar dah lesap dari handbag.
Selama hayat hidup, saya tak pernah kehilangan dompet.
Saya memang extra cermat jaga barang penting sebegitu.
Dan yelah, Allah belum mahu menguji saya.
Tapi kali ini nampaknya nasib tidak menyebelahi saya.
Saya syak saya tercicir dompet saya tanpa sedar.
Mungkin sewaktu beli barang, gopoh dan hendak cepat.
Syukur saya bukanlah jenis yang suka letak duit banyak-banyak dalam dompet.
Yang lesap bersama beg hanyalah sepuluh dua saja.
Tapi yang membuatkan saya termenung panjang dan sasau sepanjang hari
ialah hilangnya dokumen berharga.
1. IC - baru saja buat IC baru akhir tahun lepas, sebab IC lama gambar muka tengah bad mood, motif?
2. Lesen memandu - baru saja buat yang baru, sebab yang lama hilang juga, cuai!
3. Kad ATM - ada dua keping. Satu memang diguna, satu lagi memang tak berduit pun di dalamnya.
4. Kad membership Vern's (kedai kasut) dan The Body Shop - ini tak apalah, tak penting. Dunia semata.
Hilang tiga benda di atas, cukup untuk buat saya penasaran sepanjang hari!
Allahu Akbar. Hamba-Mu ini sungguh lemah bila berhadapan dengan ujian.
Tapi ada beberapa benda yang ada dalam dompet itu, yang menjadi tanda kenangan saya,
turut lesap bersama. Sungguh sendu lagi terkilan lagi ralat mengenangkannya.
1. Kad ATM Lloyds TSB Bank yang saya gunakan sepanjang waktu saya berada di UK dahulu.
2. Kad keahlian Malaysian Student Department UK-Ireland.
3. Newcastle University Student ID - ini memang paling diratapi kehilangannya!
4. 5 SIM cards talian telefon UK yang pernah saya pakai dahulu, tak penting.
Apa lagi hendak dikata. Benda dah jadi.
Redha tapi jauh di sudut hati saya masih berdoa agar dompet saya itu ditemui oleh orang yang jujur,
yang takut untuk pegang hak orang.
Silap saya, tidak letak apa-apa pengenalan tempat kerja atau alamat saya di sini.
Dan tidak letak nombor telefon juga.
Memang baik budi benarlah orang yang menemuinya jika dia sanggup poskan dompet saya ke rumah!
Apapun, saya anggap ini sebagai peringatan yang Allah hantarkan kepada saya.
Saya duduk diam bermuhasabah sendirian.
Mungkin kebelakangan ini saya banyak buat salah.
Mungkin kebelakangan ini saya lalai mengingati-Nya.
Mungkin kebelakangan ini saya kerja tak berapa ikhlas.
Mungkin kebelakangan ini saya banyak benci orang.
Mungkin kebelakangan ini saya banyak buat silap dengan orang tua saya.
Mungkin kebelakangan ini saya kurang berkongsi rezeki yang saya ada.
Dan macam-macam lagi.
Tiada lain yang saya harapkan, semoga Allah mengampunkan segala khilaf saya.
Saya hanya mahukan kehidupan yang diredhai dan diberkati.
Harta melimpah tidak bermakna kalau ketenangan tidak singgah di hati.
Hidup bermewah tidak bererti kalau tidak menemui kebahagiaan yang hakiki.
No comments:
Post a Comment