Thursday, December 5, 2013

Takutlah Kepada Tuhanmu yang Maha Melihat!


Suatu pagi.

Saya ke pasar seperti biasa, dan lazimnya akan singgah ke kedai runcit Tok Su yang letaknya betul-betul berhadapan dengan pasar. Tok Su tiada pertalian darah dengan saya, tetapi dia bukanlah asing bagi saya. Sudah saya anggap seperti nenek saya sendiri. Sesekali pulang ke kampung dan berkunjung ke kedainya, Tok Su tidak pernah tidak memeluk cium saya seperti saya ini cucunya sendiri.

Lalu pagi itu kami bersembang di kaunter kedai, sambil tangan saya ligat bermain-main balang berisi gula-gula di hadapannya. Kebetulan pagi itu tidak ramai pelanggan yang keluar masuk.

"Na, tengok tu." Tok Su memuncungkan mulutnya ke arah kaki lima kedai. Saya mengalih pandang.

Seorang perempuan tua, mungkin usianya di akhir 60-an, matanya pula seperti tidak berapa terang, berniaga buah dokong di kaki lima kedai Tok Su. Berbaju kurung lusuh. Tudungnya juga.

"Kenapa?" Saya menyoal. Tiada yang pelik di pandangan kerana memang ada beberapa peniaga membentang tikar dan berniaga di kaki lima deret kedai di sini. Sebak pula saya melihat makcik itu menggagau-gagau hendak menimbang buah dokong. Pejam celik pula matanya hendak melihat bacaan penimbang. Kasihan dia, di usia begini dia sudah sepatutnya berada di rumah, berehat dan beribadat. Saya berharap dia berniaga sekadar hobi atau melepas bosan berada di rumah, dan bukan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

"Susah Tok Su nak cakap Na. Bukan nak buka pekung orang. Tapi dah tak tahu nak tegur macamana."

"Kenapa Tok Su?" Saya mengerut dahi.

"Makcik tu, tak solat. Tak pernah solat," bisik Tok Su perlahan.

"Haaa..? Astaghfirullahal'azim...betul ke? Mana Tok Su tahu?"

"Dia setiap hari berniaga di kaki lima Tok Su ni. Surau, nah, dua tiga langkah saja. Bukan nak bersangka buruk, tapi, kalau dah sepanjang hari duduk saja mengadap buah dokongnya tu, dari pagi bawa ke petang, bila pula dia sembahyang."

"Dia sembahyang masa Tok Su masuk sembahyang kot."

"Tok Su banyak kali dah ajak dia sembahyang di bilik belakang kedai ni. Bagi telekung pada dia. Na tahu dia jawab apa?"

Saya mengangkat kening.

"Kita ni tak pernah sembahyang. Anak beranak kita semua tak sembahyang."

Allahu Rabbi. Saya mengurut dada. Terasa sesuatu sedang tersekat di kerongkong.

"Macamana ya Tok Su nak ajak dia sembahyang lagi, kesian dia."

Ya, memang kasihan. Dan sedih. Di usia senja begini, sepatutnya semakin menambahbaik amalan fardhu dan melipatganda amalan sunat selagi Allah memberi bonus hari-hari untuk bernafas, namun yang berlaku sebaliknya pula, tiang yang paling utama dan pertama yang akan dihisab itu, dibuat seperti tidak ada apa-apa.

Allahu Rabbi.

Saya memandang makcik itu dengan perasaan sebak. Tok Su termenung panjang.

"Tok Su, kalau macam tu kan, setiap kali masuk waktu, Tok Su nak solat, Tok Su ajak dia juga. Perlahan-lahan tapi kena paksa juga lah. Kan? Atau kalau dia tak mahu tinggal buah dokong dia tu, Tok Su pujuk dia, gilir jaga."

"Insya Allah Na. Kita cuba lah apa yang terdaya. Tolong doakan semoga dia terbuka pintu hati. Kita ni, tak tahu bila umur kita akan habis. Entah esok, lusa, lepas ni, kita tak tahu. Minta Allah sentiasa campak rasa takut kita pada Dia setiap masa, terutama di akhir-akhir hidup. Dalam kubur esok, siapa pun dah tak boleh tolong."

Saya mengangguk perlahan. Meminta diri untuk pulang.

Melewati perempuan tua penjual buah dokong itu, saya singgah membeli sekilo dua. Sambil membisikkan doa kepadanya.

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu, dalam ketaatan beribadah kepada-Mu, dalam rasa takut akan kemurkaan-Mu dan dalam kesediaan untuk berkorban di jalan-Mu. Genggam erat hati kami ya Allah, janganlah Engkau lepaskan hidayah-Mu dari hati kami, walau sesaat.

No comments:

Post a Comment