Saturday, November 30, 2013

Reposted : 8 Tahun Abah Pergi...

Hari ini 30 November (2013). Genap 8 tahun abah pergi menyahut seruan Ilahi (30 November 2005), pergi yang takkan kembali lagi.


Abah bukanlah bapa kandung saya. Abah hanyalah datuk saudara saya, sebelah emak. Tetapi panggilan keramat itu menunjukkan betapa dekat dan akrabnya hubungan kami semasa hayatnya masih ada. Sehingga hari ini saya masih terkenang-kenangkan arwah abah, yang namanya sering saya sebut dalam doa sujud, memohon agar Allah menjadikan alamnya di sana sebagai satu tempat kerehatan dari kelelahan hidup di dunia.

Kami rapat kerana kami dekat. Rumah abah hanyalah di seberang rumah atuk, di kampung dan tanah yang sama. Pemisahnya hanyalah surau kampung kami yang tidak seberapa. Surau kecil itu sungguh-sungguh mengembalikan nostalgiaku bersama arwah abah. Bagai terdengar-dengar suaranya melaungkan azan dengan lantang, dan kadangkala menyampaikan kuliah agama kepada anak-anak desa.

Abah bukanlah berpangkat tinggi dan ternama, tetapi semangatnya untuk memberi dan berkongsi itulah yang saya kagumi sehingga ke hari ini. Abah memberi sekadar apa yang ada pada dirinya. Ilmu yang seteguk dicurah-curahkan untuk memastikan tiada yang kehausan.

Teringat zaman power rangers saya dan Mudd, serta sepupu-sepupu kami, termasuklah anak-anak abah yang bongsu, berlarian mengikut abah menebas semak-samun di kebun, walaupun tahu risiko pacat dan nyamuk yang menanti. Tidak kami hiraukan semua itu, asalkan dapat makan rambutan segar yang abah kaitkan, dapat main sembunyi-sembunyi di sebalik pokok pisang, dan yang paling penting dapat menjadi power rangers apabila abah menghadiahkan kami buluh bemban sebatang seorang sebagai upah. Kami berkarate dan berwushu di atas batas padi bersama-sama hingga lunyai buluh bemban itu kami kerjakan. Penat berkarate, kami bermain buaian kayu panjang yang abah buatkan untuk kami di anjung surau, sambil menyanyi girang. Seronok zaman kanak-kanak bersama abah seakan baru semalam kami lalui.

Masih terimbau saat-saat saya gelak terguling-guling akan roti sira abah yang saya rasa ianya hidangan paling klasik di dunia. Gelak lagi bila abah menggaru belakang badannya dengan tulang harimau yang entah dari mana abah dapat. Dan abah akan mengejek-ejek tawa saya. Paling tidak pun akan pura-pura hendak memukul saya. Paling saya suka bila dapat duduk semeja dengan abah bila abah membaca al-Quran atau membaca buku-buku agama di waktu petang, dan saya boleh mengutarakan apa saja persoalan dan abah tidak pernah lokek untuk berkongsi pendapat dan nasihatnya.

"Ni, benda ni. Jangan tinggal. Kena baca setiap hari. Inilah nanti yang akan suluh kita dalam kubur esok-esok," tegas abah pada saya sambil menepuk-nepuk mushaf al-Qurannya.

"Buat apa-apa pun, pergi mana-mana pun, ingat Tuhan, ingat mak ayah," pesannya pada saat saya ingin berangkat melanjutkan pengajian ke kolej matrikulasi pada Mei 2005.

Walaupun abah bukan sesiapa, dan pesanannya pula hanyalah 'biasa-biasa', tetapi yang 'biasa-biasa' itulah yang membuatkan saya rindu hendak berjenaka dengannya dan mendengar kata-kata hikmah yang lahir dari mulutnya.

Abah pergi menemui Penciptanya kurang sebulan selepas Aidilfitri 1426H, pada usia 65 tahun. Abah diserang mild stroke dua minggu selepas hari raya. Saya, Mudd dan ayah berkejar ke wad kecemasan HUSM di tengah malam untuk melihat keadaannya. Saya juga turut sama sibuk mengiringinya sewaktu abah disorong ke bilik CT Scan. Hati disayat pilu melihat keadaannya yang sudah tidak mampu berkata-kata dengan sempurna seperti sebelumnya. Tapi abah masih mampu tersenyum mendengar saya bercerita dan berjenaka di sisinya, sehinggalah abah diserang stroke kali kedua, yang menyebabkannya koma, sehingga ke penghujung hayatnya.

Di hari-hari terakhir hayat abah, hampir setiap hari saya menziarahinya di hospital, membisikkan kalimah-kalimah Allah di telinganya. Malam terakhir abah di hospital, saya turut bermalam di hospital dan tidur di beranda wad berselimutkan angin malam, untuk membantu menjaganya, membacakan surah Yasin dan berdoa supaya Allah meringankan bebanan kesakitannya.

Atas saranan doktor, abah dibawa pulang ke rumah. Tiada pilihan melainkan jika mahu disambungkan mesin penyambung hayat dan seluruh keluarga bersetuju untuk tidak terus 'menyeksa' abah. Jika inilah janji Allah padanya, siapalah kami untuk menghalang.

Abah mencelikkan mata seketika sewaktu dia dibawa masuk ke rumah. Saya duduk di hujung kakinya, mengurut kakinya yang sudah sejuk.

"Abah, abah dah balik rumah abah ni. Orang ada dekat abah ni..." Saya tidak mampu meneruskan kata-kata. Air mata yang hampir mengalir saya tahan dalam sebak yang menggila.

Dan tengah malam itu, sampailah detik dan ketika, yang sudah ditulis oleh Allah untuk abah, yang tidak mungkin bisa dilambatkan atau dicepatkan walau sesaat. Abah pergi jua akhirnya. Air mata deras mengalir pada saat abah dibawa pergi, yang tidak akan kembali lagi.

Hari ini, dalam tak sedar, dalam mengharung kesibukan dunia, sudah 8 tahun abah pergi. Air mata seperti sukar diempang. Gugur lagi dalam sendu bacaan al-Quran yang saya hadiahkan untuk rohnya. Bersemadilah abah, damailah dirimu di alam sana. Kiriman doa tidak akan putus untukmu dari kami di alam maya ini. Lambat-laun janji Allah pasti akan tiba untuk kami semua juga, bahkan sesiapa sahaja. Semoga Allah jadikan tempat persemadian abah di sana, sebagai seluas-luas taman syurga, yang tidak ada di dunia.

1 comment:

  1. mantaplah beb entry ni. terbuktilah mu ketua editor majalah sekolah naim lilbanat. hehe

    thanx for sharing this, a beautiful one indeed :)

    -geng uludag-

    ReplyDelete