Tuesday, March 31, 2009

Hadiah Paling Berharga


Hadiah paling berharga yang pernah aku terima ini adalah dari dua insan yang teristimewa dalam hidupku.

Sebuah terjemahan al-Quran. Dari ayah dan mak.

Hadiah ala-ala surprise yang aku terima ini adalah sempena hari lahirku yang ke-14, pada Jun 2001. Lapan tahun lalu. =)

Asalnya aku memang terkenan betul dengan terjemahan al-Quran dengan cover warna hijau ini sewaktu aku mengikut ayahku ke sebuah kedai buku. Konflik jiwalah juga saat tu. Hendak beli sendiri, mana ada duit tambah pulak harganya lebih RM30 kalau tak silap. (Bagi budak sekolah macam aku, harga sebanyak tu dah kira mahal tu) Nak beritahu ayah, takut plus tak sampai hati bimbang kalau-kalau ayah memang tengah tak ada duit masa tu. Tapi oleh sebab hendak sangat, aku cuba bagi signal-signal terang lagi bersuluh iaitu dengan berdiri terlalu lama dekat rak terjemahan al-Quran tu, membelek-belek dengan muka yang sengaja dikhusyukkan dengan penuh harapan agar ayah 'mengerti' maksud yang cuba aku sampaikan. (Strategi itu penting, beb!)

Tapi puas bertaktik seorang diri, akhirnya balik rumah macam tu aje. Sedih je rasa sebab ayah langsung tak notice lakonan aku tadi. Huahua.

Beberapa minggu berselang, dan aku pun dah lupa pasal keinginan aku tu. Sehinggalah ketika aku pulang dari asrama sewaktu cuti penggal pertama persekolahan. Terpegun seketika aku melihat 'naskhah' yang aku idam-idamkan selama ini terletak elok di atas meja di bilikku.

"To my dearest daughter,
Selamat Hari Lahir ke-14"

Aku memang cam benar tulisan itu. Gembira dan terharu bercampur-baur. Tapi malangnya, aku bukannya jenis yang pandai nak berlari pergi peluk ayah untuk ucap terima kasih sambil menangis terharu. Aku hanya tersengih-sengih mencari ayah sambil bertanya,

"Ayah bagi eh?"

Ayah tersenyum, mengangguk.

Aku pun rasa macam agak kurang asam la aku ni pada waktu tu. Tapi aku ucap juga terima kasih melalui mak. =D

Naskhah paling berharga itu masih aku simpan sampai sekarang, dan padaku hadiah itu berharga bukan hanya kerana ayah dan mak yang menghadiahkannya, tetapi seolah-olah ayah 'menyampaikan' pesanan-pesanan dari Sang Maha Pencipta untuk anaknya, supaya diteliti dan diamalkan dalam kehidupan.

Nyata, seorang ayah sebenarnya masih tetap dapat 'membaca' hasrat hati anaknya. Menggembirakan anak perempuan, adalah pahala untuk seorang ayah. Semoga mengalir pahala berterusan untukmu, my dearest ayah! Terima kasih ayah! Kadang-kadang ayah sweet jugak. Ngeeeeee...

Hadiah paling berharga. Inilah yang dikongsikan semua sewaktu Friday Nite Fever episod kedua yang berlangsung Jumaat lepas. Namun, dalam pada kita sibuk mengenang segala macam hadiah teristimewa yang dihadiahkan oleh orang-orang tersayang, jangan kita lupa akan 'hadiah' termahal dari Sang Maha Pencipta.

Nyawa. Untuk sebuah kehidupan, itulah yang paling berharga. Dan Tuhan memberikan nyawa sebagai sebaik-baik nikmat, untuk kita mengecap nikmat-nikmat lain di dunia ini. Dan dari nyawa, Tuhan memberikan kita nikmat ruang dan peluang untuk kita berlumba-lumba menjadi hamba yang terbaik amalannya dari sisi-Nya.

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." [51:56]


"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah ingin kamu dustakan?" [55:13]

Saturday, March 28, 2009

Nasi Lemak Buah Bidara


Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.


The power of love.
Itu yang cuba disampaikan oleh pantun Melayu 4 kerat yang famous ini, untuk menggambarkan betapa besar pengaruh sebuah kuasa yang bernama cinta ke atas manusia.

Cinta datang dari Allah. Sekali lagi, cinta datang dari Allah. Dia yang Maha Berkuasa untuk menyuntik sebuah keindahan bernama cinta ke dalam hati manusia. Cinta juga merupakan nikmat dari Allah kepada hamba-hamba-Nya. Cinta juga fitrah yang Allah jadikan untuk menghiasi kehidupan manusia.

Pepatah Melayu juga ada menyebut,

Tak kenal, maka tak cinta.

Ini juga benar. Cinta tak akan datang tanpa kita mengenali seseorang. Dan tidak mungkin kuasa cinta itu akan datang mempengaruhi jika kita tidak mengenali. Dari cinta datang seluruh pengorbanan, dan dari cinta akan merasakan seluruh kehidupan seperti di awang-awangan.

Pengalaman merasakan cinta, terlalu manis. Benar sungguh bak kata orang, bila dilamun cinta, makan tak lalu, mandi tak basah, tidur tak lena. Siang malam, matahari bulan, semuanya dia. Mengigau dia, berdengkur dia, makan nasik dia, bekerja dia, belajar dia, pendek kata, segala-galanya dia. Benar, cinta mampu buat manusia gila!

Pernahkah kita terfikir, kalaulah konsep cinta sebegini diimplimentasikan dalam pengabdian kita kepada Tuhan, bagaimana agaknya ye? Tentulah solat akan terasa lebih khusyuk, kerana merasakan Dia dekat dengan kita, membaca al-Quran ibarat membaca surat cinta yang dipenuhi kalam indah, malah terindah dari segalanya kerana inilah surat cinta teragung dari Yang Maha Agung. Terasa bagai kebahagiaan mengiringi segenap langkah kehidupan, dan yang paling penting, kuasa cinta hakiki ini bukan sahaja memberi keindahan hidup di dunia, malah menjanjikan keindahan syurga yang tiada taranya di akhirat kelak.

Ya Allah, mampukah aku menjadi hamba yang dicintai dan mencintai-Mu sepenuh hati?

Mampukah kita mencintai-Nya jika kita tidak mahu berusaha untuk mengenali-Nya?
Mampukah kita meraih cinta-Nya jika kita tidak mahu berusaha untuk mendekati-Nya?


Teringat serangkap lagi pantun yang mengungkap perihal cinta.

Dari mana semut melata,
Dari gula turun ke titi;
Dari mana datangnya cinta,
Dari mata jatuh ke hati.


Indah sungguh bayangannya. Tapi inilah antara sebab mengapa Dia mencoretkan di dalam surat cinta-Nya, berpesan supaya kita menjaga pandangan mata untuk mengelakkan panahan cinta buta.

Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang dicintai dan mencintai-Mu sepenuh hati kami.

Peliharalah kami dari cinta yang memalingkan hati kami dari cinta-Mu.

Peliharalah kami dari sifat terkeji dan tipu daya syaitan.

Peliharalah kami dari azab api neraka-Mu yang maha pedih.

Anugerahkanlah kami cinta yang sejati dan mendapat rahmat dari sisi-Mu.

Tuesday, March 24, 2009

Wonderful Weekend in Wilderness

Wonderful Weekend in Wilderness. Program untuk segala jenis bujang (undergrads, postgrads, separa bujang, bujang trang tang tang etc) yang menghuni bumi Newcastle ini. Julung-julung kalinya Balai Malaysia Newcastle menganjurkan program seumpama ini, dan alhamdulillah telah berlangsung dengan jayanya pada weekend lepas (21-22 Mac), dengan mengambil Cumbria dan Cramlington sebagai lokasi program.

Asalnya program ini bukanlah diatur dalam masa yang lama, hanya dua tiga bulan sudah baru dirancang dan dikemukakan proposal kepada Hi-Com Balai, kurang sebulan sebelum program barulah bajet diluluskan, tempat disahkan dan hanya dua minggu sebelum program berlangsung barulah jawatankuasa kerja bermeeting dengan rasminya! Bayangkan!

Sekadar suka-suka, dan memikirkan luang waktu yang ada pada tarikh berkenaan, aku menghubungi pengarah program untuk mengoffer diri menjadi sebahagian dari jawatankuasa penggerak program. Kata Zainal,

"AJK Makanan still kosong lagi, akak. Akak ok ke kalau tolong jadi AJK Makanan?"

Nampaknya Zainal dah memberi tawaran tak rasmi kepada aku. Errr...AJK Makanan??! Walaupun terdetik rasa ragu-ragu yang tinggi dalam hati, tapi aku terus sahaja menyetujui pelawaan Zainal walaupun masih blur dengan tugas yang patut aku lakukan. Sangkaku mudah, mesti diorang nak tempah je makanan dengan postgrads, setakat nak hidang kat peserta, ape susah!

Rupa-rupanya, panas tidak sampai ke petang. Siapa sangka nak snow lebat di tengahari. Sewaktu aku menemankan Kak AJ mewakili Kak Madihah sebagai setiausaha program untuk bermesyuarat bersama Penghulu dan Timbalan Penghulu Balai, aku macam terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi bilamana ahli mesyuarat bersetuju agar segala jenis makanan yang akan dihidang sepanjang program DIMASAK SENDIRI! Dan dah tentulah tanggungjawab itu jatuh ke atas diriku ini. Huahuahua.

"Achievable je untuk masak sendiri. Participants 40 orang je. Tambah AJK, jadi 50 orang. Tak banyak mana pun. Kita masak untuk open house raya hari tu lagi banyak."

Kak AJ cuba meniup semangat Malaysia Boleh ke dalam jiwaku.

OKlah. Belum cuba belum tahu. Kalau tak cuba, mana nak tahu kan?

Dan dek kerana terbelenggu kesibukan dengan tugas-tugas akademik yang amat dahsyat sepanjang minggu terakhir sebelum easter break, dengan presentationnya, dengan assignmentnya, dengan report zeolite adsorptionnya, dengan rehearsal presentationnya, membuatkan aku hanya dapat sort out barang-barang keperluan pada petang Jumaat, kurang 24 jam sebelum program bermula. Alhamdulillah Sheeda dan Nazue serta Abang Anuar tolong beli sikit-sikit barang yang perlu kat ASDA, so hanya tinggal ayam dan sayur-sayuran untuk aku uruskan. Sekali lagi alhamdulillah, Allah mendatangkan pertolongan yang tidak disangka-sangka. Yeng dan Meni tolong submitkan assignment aku ke school office, dan tolong belikan paper plate, plastic cup, bla bla kat town. Kak Ema temankan aku beli ayam dan sayur, Zainal dan Hilmi tolong angkut, Kak Iffa dengan kereta comelnya tolong angkut ayam dari Watan ke rumah, dan para muslimin rumah 102 bergotong-royong membersihkan 28 ekor ayam + 120 chicken wings.

Alhamdulillah. Syukur pada Allah kerana terlalu ramai insan-insan yang baik budi sudi membantu meringankan bebanku, terutamanya Kak Iffa yang terpaksa berkejar ke Watan walaupun baru sahaja pulang dari hospital. Thanks so much korang semua. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan dan keikhlasan korang =D

Hari kejadian. Kabus tebal di Cumbria menyambut ketibaan kami di Greenhead Youth Hostel. Alhamdulillah. Sekali lagi Allah permudahkan. Entah macam mana, di saat terakhir AJK mengambil keputusan untuk menempah lauk untuk dua kali makan tengahari dari Kak Siti, dan aku hanya perlu sediakan apa yang patut sahaja, macam masak nasi dan sediakan breakfast. Alhamdulillah. Kami memilih untuk serve makanan dalam talam. Tahu aje la sebabnya kan? Jimatkan dishwashing liquid, hehehe. Yeke?!

Semua sesi makan berjalan lancar, walaupun ada jugak momen-momen cemas-panik-kritikal yang terpaksa aku hadapi sewaktu berada di dapur. Tapi so far so good. Alhamdulillah. Kesilapan tu memang tak dapat dielakkan, tapi inilah cara untuk belajar kan?

Macam tak percaya aku masak nasi goreng cina seperiuk besar untuk 50 orang, untuk BBQ dinner hari pertama program. Tak pernah seumur hidup aku masak dalam periuk sebesar tu!
Mak aku tergelak-gelak je bila aku cerita. Hehehe. Nasib baik jadik =D

Lunch hari pertama : Nasi putih, ayam masak merah, salad dan timun =D

Program berjalan lancar. Rasa sangat puas melihat wajah girang para peserta, walaupun sehari suntuk dari pagi hingga ke malam aku menjadi buruh kasar di dapur. Sampaikan tertidur-tidur di kerusi dapur dek kerana terlalu penat!

Nampaknya peserta sangat hyperactive dan responsif dalam setiap slot. Aku hanya sempat mengikuti slot selepas Zohor yang membawa tema fiqh musafir untuk hari pertama. Untuk slot gameshow, track conqueror dan remembering tradition tak sempat ikut kerana sibuk berketang-ketung dengan periuk belanga. Dan slot Surat Cinta dari Allah yang diadakan pada malamnya, aku memang awal-awal dah surrender sebab dah tak mampu nak absorb apa-apa dah. Mata tak boleh bukak lagi masa tu. Mamai habis. Lega rasa bila Kak Ema berjanji akan bawa lagi slot itu ke dalam study circle mingguan kami.


AJK Dapur melepaskan tension di tepi sungai bersama kawan-kawan.

Hari kedua. Peserta bertolak dari Cumbria ke Cramlington untuk sesi paintball pula. Sementara aku dan Kak Iffa berpatah balik ke Newcastle untuk mengambil lauk untuk makan tengahari. Sempat kami singgah di rumah Kak Iffa di Wingrove Avenue, lepak-lepak kejap untuk hilangkan penat. Cemas juga bila selepas itu kami tersesat agak jauh hingga ke Blyth kerana navigator Kak Iffa enggan berfungsi. Hehehe. Sewaktu kami sampai di Delta Force, Cramlington para peserta yang dah habis game dah toya je semuanya. Sengit betul peperangan antara 'Hamas' dengan 'Fatah' ye. Hehehe.

Peserta W3 bersama Penghulu Balai selepas majlis penutup di Delta Force

Alhamdulillah. Program berakhir dengan slot Cinta dalam Islam sebelum majlis penutup. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta W3 tahun ini, atas kesudian mengorbankan weekend mereka dengan memilih untuk menghadiri program ini. Semoga kalian pulang dengan segala macam ilmu, pengalaman dan tautan ukhuwwah yang akan berkekalan insyaAllah =D

Kepada semua committee, sama-samalah kita luruskan niat, bekerja dan berbuat kebaikan untuk mencari redha Allah semata-mata. Semoga Allah menilai dan mengangkat segala kerja kita sebagai suatu amal soleh yang dapat membantu kita di akhirat kelak.

Pembantu-pembantuku di dapur - Nazue, Sheeda, Kak Iffa, Yeng, Meni dan lain-lain yang membantu secara langsung atau tak langsung - thanks so so much for your help!

Penat yang puas. Really had a wonderful weekend.

Tapi oleh kerana sakit seluruh badan penangan menjadi hamba dapur, maka aku isytiharkan hari Isnin, hari ketiga easter break sebagai hari hibernasiku. Hahaha =D