Saturday, March 28, 2009

Nasi Lemak Buah Bidara


Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.


The power of love.
Itu yang cuba disampaikan oleh pantun Melayu 4 kerat yang famous ini, untuk menggambarkan betapa besar pengaruh sebuah kuasa yang bernama cinta ke atas manusia.

Cinta datang dari Allah. Sekali lagi, cinta datang dari Allah. Dia yang Maha Berkuasa untuk menyuntik sebuah keindahan bernama cinta ke dalam hati manusia. Cinta juga merupakan nikmat dari Allah kepada hamba-hamba-Nya. Cinta juga fitrah yang Allah jadikan untuk menghiasi kehidupan manusia.

Pepatah Melayu juga ada menyebut,

Tak kenal, maka tak cinta.

Ini juga benar. Cinta tak akan datang tanpa kita mengenali seseorang. Dan tidak mungkin kuasa cinta itu akan datang mempengaruhi jika kita tidak mengenali. Dari cinta datang seluruh pengorbanan, dan dari cinta akan merasakan seluruh kehidupan seperti di awang-awangan.

Pengalaman merasakan cinta, terlalu manis. Benar sungguh bak kata orang, bila dilamun cinta, makan tak lalu, mandi tak basah, tidur tak lena. Siang malam, matahari bulan, semuanya dia. Mengigau dia, berdengkur dia, makan nasik dia, bekerja dia, belajar dia, pendek kata, segala-galanya dia. Benar, cinta mampu buat manusia gila!

Pernahkah kita terfikir, kalaulah konsep cinta sebegini diimplimentasikan dalam pengabdian kita kepada Tuhan, bagaimana agaknya ye? Tentulah solat akan terasa lebih khusyuk, kerana merasakan Dia dekat dengan kita, membaca al-Quran ibarat membaca surat cinta yang dipenuhi kalam indah, malah terindah dari segalanya kerana inilah surat cinta teragung dari Yang Maha Agung. Terasa bagai kebahagiaan mengiringi segenap langkah kehidupan, dan yang paling penting, kuasa cinta hakiki ini bukan sahaja memberi keindahan hidup di dunia, malah menjanjikan keindahan syurga yang tiada taranya di akhirat kelak.

Ya Allah, mampukah aku menjadi hamba yang dicintai dan mencintai-Mu sepenuh hati?

Mampukah kita mencintai-Nya jika kita tidak mahu berusaha untuk mengenali-Nya?
Mampukah kita meraih cinta-Nya jika kita tidak mahu berusaha untuk mendekati-Nya?


Teringat serangkap lagi pantun yang mengungkap perihal cinta.

Dari mana semut melata,
Dari gula turun ke titi;
Dari mana datangnya cinta,
Dari mata jatuh ke hati.


Indah sungguh bayangannya. Tapi inilah antara sebab mengapa Dia mencoretkan di dalam surat cinta-Nya, berpesan supaya kita menjaga pandangan mata untuk mengelakkan panahan cinta buta.

Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang dicintai dan mencintai-Mu sepenuh hati kami.

Peliharalah kami dari cinta yang memalingkan hati kami dari cinta-Mu.

Peliharalah kami dari sifat terkeji dan tipu daya syaitan.

Peliharalah kami dari azab api neraka-Mu yang maha pedih.

Anugerahkanlah kami cinta yang sejati dan mendapat rahmat dari sisi-Mu.

No comments:

Post a Comment