Tuesday, June 16, 2009

Mari Berpantun


"Mak, apa maksud pantun?" Soal Ning kepada mak. Ning sedang menyiapkan kerja rumah Bahasa Melayunya malam ini.

"Pantun?" Mak mengerutkan dahi.

"Apa maksud pantun kak?" Mak beralih kepadaku pula. Aku menggaru kepala. Memanglah aku bekas pemantun sekolah enam tahun dahulu, tapi tak pernah pula aku terlintas untuk mencari maksud perkataan pantun itu sendiri.

Aku tersengih-sengih memandang muka Ning yang sudah kelat-kelat pisang muda.

"Alah, bukak Kamus Dewan nu." Mudd menyelesaikan masalah.

Terbongkok-bongkok Ning mencari maksud perkataan pantun di dalam Kamus Dewan.

Maksud perkataan pantun mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga :
- Sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap
- Peribahasa yang digunakan sebagai sindiran

"Mak, ada lagi ni," Ning merengek. Eh, tak habis lagi.

"Cari maksud bagi perkataan pantun dan cipta dua rangkap pantun bertemakan budaya dan warisan bangsa," mak membaca arahan di dalam buku latihan Bahasa Melayu Tahun Empat itu.

"Hah, sudah!" Reaksi spontan ayah.

"Ini BM darjah empat ke, sastera tingkatan enam atas?"

Aku menggaru kepala. Mudd juga. Mak sibuk membelek-belek buku teks Bahasa Melayu Ning, mencari kalau-kalau ada pantun empat kerat yang berkaitan.

"Hisy! Kak tak datang idea la Ning." Aku masih menggaru kepala selepas setengah jam berlalu. Aduh, idea! Puas aku cuba memerah otak, namun sedikit ilham pun tak datang. Kalau masuk Pesta Pantun sekarang, confirm buat malu pasukan sekolah ni.

"Mak pun dah lama tak main pantun-pantun ni."

"Ning, kalau setakat buah cempedak di luar pagar tu abe tahu la," sampuk Mudd sambil mengekek ketawa.

"Ning, ayah ada pantun untuk Ning. Apa tema dia tadi? Budaya bangsa?" Hah, tu dia. Tapi aku dah mula gelak. Dah dapat agak ritma pantun ayah nanti.

"Keris Taming Sari milik Hang Tuah," ayah mula berpantun dengan syahdunya. Aku, Mudd dan mak ketawa macam tak ingat dunia.

"Hang Tuah berlagak dengan Hang Jebat," sambung ayah lagi. Aku sudah berair mata ketawa.

"Pantun ayah tu tak ada bunga bahasa langsung. Orang buat pantun kena reka maksud dulu, baru buat pembayang," komen mak. Ayah tergelak.

"Tadi kata nak budaya bangsa. Yelah tu."

Gamat kami bergelak ketawa, sehinggalah terhenti apabila terdengar esakan di sudut ruang. Ning sudah mula teresak-esak di atas buku Bahasa Melayunya.

Kami memperlahankan gelak, bimbang takut tangisnya makin nyaring. Hisy, kuat menangis betul budak ni. Bimbang kerja rumah tak siap la tu.

"Alah, tak payahlah menangis. Esok Ning bagitahu cikgu, saya bukan beranak kat Istana Budaya," kata ayah, separa menyindir. Menyindir akan wujudnya elemen-elemen yang tidak wajar dalam silibus persekolahan zaman sekarang.

Lama aku berfikir. Hampir sejam barulah ilham itu datang perlahan-lahan. Alhamdulillah dapat juga aku membantu Ning menyiapkan kerja rumahnya. Kalau tidak...runtuhlah bumbung rumah ni dengan esak tangisnya malam ini.

Hm...susah juga kalau menyusun atur sukatan pelajaran main hentam keromo ni. Yang menjadi mangsa, anak bangsa sendiri. Betul kata ayah, sistem pendidikan sekarang semakin tak masuk akal. Apa pula selepas ini?

1 comment:

  1. a happy family at work it seems. wish it is my own. maybe one day. lol. selamat bercuti.

    ReplyDelete