Monday, February 17, 2014

Langkah Seorang Dai'e

Sejak hari pertama.
Dia menyambut kehadiran saya di bumi barakah ini dengan senyuman ramah mesra.
Datangnya saya, sebagai seorang yang baru hendak mengenal dunia.
Baru hendak menapak tangga kerjaya.
Jauh saya berkelana meninggalkan kampung halaman.
Musafirnya saya demi menggalas amanah besar kurniaan Tuhan.
Lalu Allah mentakdirkan saya menemui guru sehebat dia.
Bukan sahaja seorang ketua, bahkan juga seumpama bapa.
Setiap langkah tatih saya sebagai seorang pendidik, dialah mentornya.

Dia memberi sepenuh kepercayaan.
Dia tidak lokek menunjuk ajar pada segenap pertanyaan.
Dia sudi mendengar segala luahan.
Dia mudah bertoleransi dalam segala perbincangan
Dia sentiasa murah dengan tawa dan senyuman.
Dia meneraju pimpinan dengan penuh kasih sayang.

Terlalu jarang saya mendengar dia meninggikan suara.
Dia tegas pada tempatnya.
Dia mudah didekati sesiapa sahaja.
Dia mudah diajak berbicara.
Dia teliti dalam setiap perincian kerja.
Dia peduli akan kebajikan sesiapa di sekelilingnya.
Padanya, dunianya adalah kerjaya.
Sentiasa melakukan yang terbaik untuk melihat hasilnya.

Dia berkorban tidak berkira tenaga, ringgit dan masa.
Sentiasa saya sanjung kerendahan hati dan tawaduknya.
Keikhlasan sentiasa refleks dari tindakannya.
Menegur segala cela dengan penuh hemah dan bermakna.

Ilmu yang dicurahkannya kepada saya, tidak terhitung banyaknya.
Tiadalah dapat saya beli di mana-mana.
Tiadalah juga mampu saya balas setiap zarah jasanya.
Teladannya akan menjadi panduan saya sepanjang masa.
Lazimilah solat dhuha, al-Quran, dan sujud syukur pada Yang Esa.

Inilah cara kerja, hamba yang sentiasa mengutamakan Allah di dalam hidupnya.


Selamat jalan mantan PK Pentadbiran SMK Agama Kerian, Tuan Haji Shahruddin Mohamad Bashah
Selamat melangkah ke puncak jaya sebagai seorang Pengetua.
Yang pergi meninggalkan jasa, yang tinggal akan terus  menggarap juara.

Sebagai anak didik tuan yang begitu terhutang budi,
Saya tidak akan lupa mendoakan

Semoga Tuan Haji sentiasa dalam rahmat dan barakah Ilahi
Semoga Allah limpahkan segala ilham dan kebaikan
Semoga Allah sentiasa memimpin langkah Tuan Haji
Semoga Tuan Haji sentiasa tsabat di jalan kebaikan
Semoga Allah menggandakan rezeki dan mengurniakan kesihatan
Semoga Allah mendekatkan Tuan Haji dengan syurgaNya.

Kerana langkah Tuan Haji, adalah langkah seorang dai'e.

Sunday, February 9, 2014

Keburuan Waktu

Assalamualaikum =)

Moga Allah limpahkan rahmat kepada sesiapa sahaja yang sudi singgah membaca.

Akhir-akhir ini saya amat keburuan waktu! Nampaknya 2014 lebih sibuk dari yang disangka. Setiap hari terkejar-kejar, memintas lambakan kerja yang tidak pernah berkurangan. Tetapi, inilah namanya tanggungjawab. Sedikit atau banyak, perlu dilunaskan sebaik mungkin. Dahulu sendiri yang beriya menangis guling-guling nak jadi cikgu, maka rasanya sekarang, cakap banyak itu tidak perlu. Less talk, more work!

Banyak merungut hanya akan membuatkan saya lebih semput. Banyak 'berbunyi' hanya akan mengurangkan work efficiency. Jadi, selagi termampu, saya cuba bahagikan masa dan buat apa yang terdaya. Kena sentiasa ingatkan diri yang ini semua adalah amanah, dan Allah sentiasa memerhatikan kerja buat saya. Moga setiap detik dihitung sebagai ibadah di sisi-Nya.

Buat masa sekarang perlahan-lahan latih diri untuk selesaikan kerja sekolah di sekolah sahaja tanpa mengusung itu dan ini balik ke rumah. Balik lewat sedikit tak mengapa, asalkan balik boleh masak dengan senang hati atau berbaring penuh kemalasan di depan TV atau habiskan membaca buku-buku yang dibeli. Tak kuasa nak fikir kerja 24 jam hingga tiada masa untuk diri sendiri, mohon elakkan diri dari menjadi tua sebelum usia.

Dan alhamdulillah hujung minggu ini dapat merasa sedikit nikmat kebebasan. Free weekend! Yeayyy terasa sangat hendak melompat kesukaan. Segala kerja rumah - mengemas seluruh rumah, cuci toilet, laundry, iron baju, kemas dapur, cuci longkang luar rumah, sapu garaj, cuci kereta - semuanya saya selesaikan menjelang tengahari hari Sabtu. Berakit-rakit ke hulu, berehat-rehat kemudian, kata peribahasa. Nikmatnya dapat merapikan rumah tanpa gangguan!

Jadi saya punya banyak masa untuk menelefon dan mendengar mak bercerita, membaca buku, layan filem P. Ramlee di tengah hari Sabtu, masak-memasak, tidur sepuas hati (opppssss!) dan tidak lupa, mengadap wedding checklist dan buat online survey for few items. Alhamdulillah. Restful yet fruitful. Syukur pada Allah yang telah mengembalikan kesihatan untuk dia, dan moga Allah kembalikan segera kesihatan mak yang sedang demam dan batuk.

Moga ada lebih banyak waktu untuk menulis selepas ini. Banyak yang hendak dikongsi, tetapi, keburuan waktu!

May Allah bless us all =)