Monday, February 17, 2014

Langkah Seorang Dai'e

Sejak hari pertama.
Dia menyambut kehadiran saya di bumi barakah ini dengan senyuman ramah mesra.
Datangnya saya, sebagai seorang yang baru hendak mengenal dunia.
Baru hendak menapak tangga kerjaya.
Jauh saya berkelana meninggalkan kampung halaman.
Musafirnya saya demi menggalas amanah besar kurniaan Tuhan.
Lalu Allah mentakdirkan saya menemui guru sehebat dia.
Bukan sahaja seorang ketua, bahkan juga seumpama bapa.
Setiap langkah tatih saya sebagai seorang pendidik, dialah mentornya.

Dia memberi sepenuh kepercayaan.
Dia tidak lokek menunjuk ajar pada segenap pertanyaan.
Dia sudi mendengar segala luahan.
Dia mudah bertoleransi dalam segala perbincangan
Dia sentiasa murah dengan tawa dan senyuman.
Dia meneraju pimpinan dengan penuh kasih sayang.

Terlalu jarang saya mendengar dia meninggikan suara.
Dia tegas pada tempatnya.
Dia mudah didekati sesiapa sahaja.
Dia mudah diajak berbicara.
Dia teliti dalam setiap perincian kerja.
Dia peduli akan kebajikan sesiapa di sekelilingnya.
Padanya, dunianya adalah kerjaya.
Sentiasa melakukan yang terbaik untuk melihat hasilnya.

Dia berkorban tidak berkira tenaga, ringgit dan masa.
Sentiasa saya sanjung kerendahan hati dan tawaduknya.
Keikhlasan sentiasa refleks dari tindakannya.
Menegur segala cela dengan penuh hemah dan bermakna.

Ilmu yang dicurahkannya kepada saya, tidak terhitung banyaknya.
Tiadalah dapat saya beli di mana-mana.
Tiadalah juga mampu saya balas setiap zarah jasanya.
Teladannya akan menjadi panduan saya sepanjang masa.
Lazimilah solat dhuha, al-Quran, dan sujud syukur pada Yang Esa.

Inilah cara kerja, hamba yang sentiasa mengutamakan Allah di dalam hidupnya.


Selamat jalan mantan PK Pentadbiran SMK Agama Kerian, Tuan Haji Shahruddin Mohamad Bashah
Selamat melangkah ke puncak jaya sebagai seorang Pengetua.
Yang pergi meninggalkan jasa, yang tinggal akan terus  menggarap juara.

Sebagai anak didik tuan yang begitu terhutang budi,
Saya tidak akan lupa mendoakan

Semoga Tuan Haji sentiasa dalam rahmat dan barakah Ilahi
Semoga Allah limpahkan segala ilham dan kebaikan
Semoga Allah sentiasa memimpin langkah Tuan Haji
Semoga Tuan Haji sentiasa tsabat di jalan kebaikan
Semoga Allah menggandakan rezeki dan mengurniakan kesihatan
Semoga Allah mendekatkan Tuan Haji dengan syurgaNya.

Kerana langkah Tuan Haji, adalah langkah seorang dai'e.

No comments:

Post a Comment