Sunday, July 10, 2011

Bersih 2.0

Sembilan puluh satu watak disekat,
Tiga puluh dua laluan ditutup;
Demokrasi tampaknya mula mangkat,
Negara polis kini mula termaktub.

~Sasterawan Negara A. Samad Said

Wednesday, July 6, 2011

Kursus Induksi Dan...

Alhamdulillah saya telah selesai menamatkan Kursus Induksi dan temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang telah berlangsung 2 minggu sebelumnya. Temuduga, biasa-biasa saja. Sejujurnya saya memang tidak berusaha sangat untuk itu, sekadar baca beberapa perkara sahaja, itu pun hanya pada malam sebelum temuduga berlangsung. Tidak ada perasaan, meskipun tahu ianya penting untuk pengesahan jawatan.

Kursus Induksi, juga berlalu seperti angin. Dua hari diisi dengan 5 slot ceramah, yang saya rasa amat sangat bergantung kepada personaliti penceramah untuk menghidupkannya. Dan alhamdulillah kebanyakannya seronok dan inputnya berguna untuk didengar dan dihayati. Kalau penceramah duduk saja di kerusi selama 2 jam dan cakap berleter-leter, em..maaflah. Jangan salahkan audiens kalau semua orang buat muka toya sepanjang ceramah.

Ujian Kursus Induksi di hari terakhir. Tentang perintah am, dasar kerajaan, pekeliling pentadbiran awam, pengurusan, kewangan dan etika. Soalan objektif agak horror, tak boleh fikir logik dan sukar untuk 'ditembak' jawapannya. OK itu memang salah saya sebab tak study betul-betul nota komprehensif kursus yang diberi. Soalan esei, alhamdulillah, sebab kebanyakannya keluar tajuk-tajuk hot tahun ini - cuti haji, pengurusan mesyuarat, Wawasan 2020 dan kebetulannya, keluar soalan mengenai Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja yang juga merupakan tajuk tugasan saya sebelum menghadiri kursus. Alhamdulillah.

Kursus Induksi tamat dengan meninggalkan saya dan rakan-rakan sekelas dengan status 'pemiutang'. Oh sungguh rawan hati ini, terasa ingin berdemonstrasi saja apabila menerima notis 'Kutipan Semula Elaun Jun'. Apakah ertinya semua ini?

Saya merenung notis dengan rasa tidak percaya. Elaun bulan Jun yang menghiasi akaun tepat 1 Jun lalu wajib dipulangkan semula tepat-tepat jumlahnya RM 1336.71 kepada IPG! Dengan alasan terlebih bayar! Dan tambah mengeruhkan 'poket', yuran kolej kediaman yang tidak dipotong sejak dari bulan Januari juga dituntut bersama sebanyak RM 395.20, lalu menjadikan jumlah hutang saya kesemuanya berjumlah RM 1731.91!! Adoi...apart from loan kereta, tidak pernah saya berhutang sebanyak ini!!

Saya masih boleh terima jika saya diberi notis supaya dijelaskan yuran kolej kediaman yang tertunggak (walaupun ianya salah pihak kewangan yang tidak melakukan pemotongan elaun seperti semester sebelumnya tapi tidak mengapa kerana saya telah menghuni dan memanfaatkan segala kemudahan kolej kediaman hingga ke akhirnya!)


Saya akan berusaha untuk melangsaikan hutang berkenaan, sudah semestinya. Tetapi saya amat musykil apabila elaun bulan Jun ditarik balik secara tiba-tiba, tanpa penjelasan sewajarnya.

Kalau ada elaun, bukankah bermakna ada peruntukan dari IPG induk, yang juga datang dari kerajaan?


Bukankah sewaktu kami menandatangani kontrak perjanjian biasiswa Program Pelajar Cemerlang, 6 tahun lalu yang menyatakan elaun akan dibayar selama 12 bulan sewaktu mengikuti KPLI?


Kalaupun elaun itu ditarik kembali, maka wang itu akan kembali kepada siapa, dan untuk apa? Saya redha jika ianya untuk disalurkan kepada elaun pelajar lain yang miskin dan tidak berkemampuan, tetapi kalau dapat ke tangan mereka yang tidak sepatutnya, em....."lu fikirlah sendiri akibatnya"

Kalau tidak dibayar elaun Julai saya terima kerana urusan saya dengan IPG sudah selesai sepenuhnya, tetapi pada bulan Jun, saya telah berulang-alik ke Kedah untuk temuduga SPP dan Kursus Induksi - bermakna urusan rasmi saya dengan IPG belum selesai!

Tambahan 'mengeringkan' poket, saya dan rakan-rakan bukan berinduksi seperti yang selalunya kakitangan kerajaan lain dilayan. Kursus induksi yang saya tahu biasanya diadakan di hotel, peserta disediakan penginapan dan makan, sekurang-kurangnya sekali. Kami tidak minta dilayan dengan penuh kemewahan, juga tidak minta kursus induksi diadakan di hotel berbintang-bintang, kami cuma memohon untuk menginap (dengan bayaran) di kolej kediaman IPG, dan kalau tiada bilik yang available, bilik serbaguna yang tak berperabot itu pun tak apa! Ditawarkan tinggal di rumah sewa pelajar (dengan kadar bayaran yang lebih kurang sama dengan sebuah homestay untuk satu malam) yang terletak di bawah pengurusan yang sama, akan tetapi bagaimana hendak menginap kalau lantainya sekali pijak kaki bersalut sarang labah-labah, tandasnya pula rosak dan keadaannya tidak ubah seperti rumah 'Hantu Kak Limah' saja. Kesudahannya kami terpaksa menyewa homestay sendiri beramai-ramai, mencari alternatif pengangkutan sendiri, dan semua itu memerlukan pengaliran wang, obviously!

Setelah menempuh keadaan sedemikian, saya fikir elaun bulan Jun kami tidak berhak untuk ditarik kembali bukan?

Saya tidak bermaksud untuk menuding jari menyalahkan sesiapa, tetapi kita patut sama-sama berfikir dan bermuhasabah mengapa boleh terjadi perkara sedemikian.

Bekerjalah dengan telus dan amanah, kerana setiap detik pun kita tidak terlepas dari pandangan Allah!

Thursday, June 16, 2011

Latte Anyone?


Ice is not good for health, but forgive me today.
I need to chill myself and have a glass of iced latte.
While thinking of future and how do I sketch my way.

Tuesday, June 14, 2011

Servis Yang Memualkan


Saya rasa semua orang sedia maklum akan mutu pengangkutan awam di Malaysia kan? Sebelum itu, saya ingin mengemukakan soalan - ada tak sesiapa yang membaca blog saya ini, bersetuju bahawa perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia ini bagus, boleh dipuji, reliable, servis berkualiti, punctual dan sebagainya yang indah didengar? Ada tak? Kalau ada tolong private message saya, kerana saya nak sangat berkenalan dengan anda yang mengalami pengalaman yang sebegitu indah itu.

Lewat berjam-jam, kena tukar bas secara tiba-tiba, kena satukan bas untuk destinasi berbeza, kena maki dengan pemandu bas, bas rosak di jalanan, bas lambat tiba di destinasi lebih empat jam dari sepatutnya hingga menyebabkan agenda semua orang tergendala, tiada kata maaf dari pengusaha bas - OK cukup. Saya tak mahu mengupas panjang lebar untuk setiap satunya. Semua orang mesti ada pengalaman pahitnya sendiri kan?

Mengapa mesti ia berlaku?
Mengapa prosedur yang hanya cantik di atas kertas tidak digunapakai?
Salah faham?
Miscommunication antara pengusaha bas dan pemandu?
Masalah dalaman syarikat?
Whatever the problem is,
it's all about attitude!

Sebagai salah seorang pelanggan yang membayar sejumlah wang untuk menaiki bas ekspres dan menggunakan perkhidmatannya, sudah pastilah saya 'angin' apabila awal-awal lagi bas tiba lambat berjam-jam dari waktu yang sepatutnya. Wajah para penumpang yang sudah kerut mencuka, ditambah lagi dengan terpaksa mendengar maki hamun dari pemandu bas bermulut longkang apabila dipersoalkan tentang kelewatannya.

Bukankah sepatutnya dia meminta maaf dan menjelaskan sebab berlakunya kelewatan?

Saya tidak rasa semua orang begitu bebal dan keras hati untuk memaafkan pemandu itu jika faktor kelewatannya adalah sesuatu yang tidak disengajakan.

Susah sangatkah hendak merendahkan sedikit ego untuk meredakan keadaan?

Mengapa begitu ramai orang di dunia ini memilih untuk menjadi bodoh sombong?

Saya bukan hendak berlagak hanya kerana saya pernah menggunakan servis bas yang sangat thumbs-up di UK, tetapi kalau sebegini memualkan servis yang diterima, kita tidak akan ke mana-mana.

Akhlak Islam itu cantik, dan jika semua mengamalkannya, sudah tentu dunia ini cantik bukan?

Saya akui saya menulis dalam keadaan beremosi, kerana saya benar-benar kecewa dengan keadaan ini.

Kita tidak mungkin mampu mengubah orang lain, tapi sekurang-kurangnya biarlah perubahan itu bermula dengan diri kita sendiri.

P/S : Adoi adoi adoi..dah mananya tak cepat tua?

Friday, June 10, 2011

Driving Is A Bliss


Saya sudah bertahun lulus ujian memandu JPJ dan memiliki lesen memandu penuh. Akan tetapi, gaya saya seperti orang tak pernah pegang stereng. Dan tidak dinafikan saya memang penakut! Takut pada kerakusan pemandu lain, takut kalau dihon, takut langgar kereta orang, takut gagal masuk side parking dan banyak lagi trauma-trauma yang pada hakikatnya belum pun dialami.

Hendak cuba-cuba memandu kereta manual yang ada di rumah, ampuuuuun! Otak saya memang sungguh perlahan untuk menghantar maklumat ke kaki dan mengawal perjalanan kereta. Pernah mencuba, tapi lebih banyak makan asap tersedut-sedut dari tiba ke destinasi.

Tidak dapat memandu sendiri, saya mengakui yang saya banyak menyusahkan mak ayah untuk ke mana-mana. Tambahan pula saya memang seorang yang 'panjang langkah'. Di zaman sekolah dulu pengangkutan awam agak efisyen dan keselamatan juga agak terjamin, maka saya tidak ada masalah untuk naik bas ke sana sini. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini sejak perkhidmatan bas semakin merosot mutunya dan kadar jenayah ragut melonjak tinggi, mak tidak lagi benarkan saya merayau sendirian dengan pengangkutan awam.

Makanya, hendak jumpa kawan, mak hantar. Hendak pergi beli kasut, mak hantar. Hendak attend reunion, mak hantar. Hendak pergi program, mak hantar. Hendak pergi kenduri kahwin kawan, mak hantar. Hendak pergi usrah, pun mak hantar. Pendek kata, kasihan mak kerana mak tidak akan pernah aman kalau saya berada di rumah walaupun mak sukarela hendak menghantar dan mengambil saya jika hendak ke mana-mana.

Setelah memiliki kereta, saya masih jadi bahan kutukan semua orang kerana saya masih menjadi penumpang kereta sendiri. Ayah dan mak sangat berat hati untuk melepaskan saya memandu kerana keadaan trafik yang menggila, walaupun saya yakin saya mampu untuk memandu di jalan-jalan yang kurang sibuk. Sudahnya, keadaan tetap sama. Pergi berhantar, balik berjemput.

Puas saya memujuk, akhirnya selepas mengikuti latihan memandu intensif dengan ayah dan menangis-nangis meyakinkan ayah, barulah ayah dan mak bersetuju melonggarkan sedikit syarat ketat mereka dengan membenarkan saya memandu di Kedah, berulang-alik dari Jitra ke Alor Setar setiap hati sepanjang menjalani praktikum.

Dan sekarang, saya dapat merasakan betapa besar rahmat apabila dapat memandu sendiri. Selain tidak lagi menyusahkan mak, saya juga dapat membantu meringankan kerja mak - hantar dan ambil adik dari sekolah, beli barang, hantar ayah ke hospital dan lain-lain lagi. Saya puas dapat menjadi driver kepada mak dan ayah.

Kita tidak perlu menunggu mak dan ayah sakit, baru hendak membuktikan yang kitalah jaguh yang dapat membalas jasa mereka.

Moralnya, mari berbuat baik kepada ibu bapa walaupun dalam perkara yang sedikit dan kecil. Allah tak akan lepas pandang sekecil-kecil perkara baik kan?