Friday, June 10, 2011

Driving Is A Bliss


Saya sudah bertahun lulus ujian memandu JPJ dan memiliki lesen memandu penuh. Akan tetapi, gaya saya seperti orang tak pernah pegang stereng. Dan tidak dinafikan saya memang penakut! Takut pada kerakusan pemandu lain, takut kalau dihon, takut langgar kereta orang, takut gagal masuk side parking dan banyak lagi trauma-trauma yang pada hakikatnya belum pun dialami.

Hendak cuba-cuba memandu kereta manual yang ada di rumah, ampuuuuun! Otak saya memang sungguh perlahan untuk menghantar maklumat ke kaki dan mengawal perjalanan kereta. Pernah mencuba, tapi lebih banyak makan asap tersedut-sedut dari tiba ke destinasi.

Tidak dapat memandu sendiri, saya mengakui yang saya banyak menyusahkan mak ayah untuk ke mana-mana. Tambahan pula saya memang seorang yang 'panjang langkah'. Di zaman sekolah dulu pengangkutan awam agak efisyen dan keselamatan juga agak terjamin, maka saya tidak ada masalah untuk naik bas ke sana sini. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini sejak perkhidmatan bas semakin merosot mutunya dan kadar jenayah ragut melonjak tinggi, mak tidak lagi benarkan saya merayau sendirian dengan pengangkutan awam.

Makanya, hendak jumpa kawan, mak hantar. Hendak pergi beli kasut, mak hantar. Hendak attend reunion, mak hantar. Hendak pergi program, mak hantar. Hendak pergi kenduri kahwin kawan, mak hantar. Hendak pergi usrah, pun mak hantar. Pendek kata, kasihan mak kerana mak tidak akan pernah aman kalau saya berada di rumah walaupun mak sukarela hendak menghantar dan mengambil saya jika hendak ke mana-mana.

Setelah memiliki kereta, saya masih jadi bahan kutukan semua orang kerana saya masih menjadi penumpang kereta sendiri. Ayah dan mak sangat berat hati untuk melepaskan saya memandu kerana keadaan trafik yang menggila, walaupun saya yakin saya mampu untuk memandu di jalan-jalan yang kurang sibuk. Sudahnya, keadaan tetap sama. Pergi berhantar, balik berjemput.

Puas saya memujuk, akhirnya selepas mengikuti latihan memandu intensif dengan ayah dan menangis-nangis meyakinkan ayah, barulah ayah dan mak bersetuju melonggarkan sedikit syarat ketat mereka dengan membenarkan saya memandu di Kedah, berulang-alik dari Jitra ke Alor Setar setiap hati sepanjang menjalani praktikum.

Dan sekarang, saya dapat merasakan betapa besar rahmat apabila dapat memandu sendiri. Selain tidak lagi menyusahkan mak, saya juga dapat membantu meringankan kerja mak - hantar dan ambil adik dari sekolah, beli barang, hantar ayah ke hospital dan lain-lain lagi. Saya puas dapat menjadi driver kepada mak dan ayah.

Kita tidak perlu menunggu mak dan ayah sakit, baru hendak membuktikan yang kitalah jaguh yang dapat membalas jasa mereka.

Moralnya, mari berbuat baik kepada ibu bapa walaupun dalam perkara yang sedikit dan kecil. Allah tak akan lepas pandang sekecil-kecil perkara baik kan?

No comments:

Post a Comment