Monday, August 30, 2010

Menghargai 10 Malam Terakhir


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Mari kita bersyukur atas nikmat dan rahmat-Nya kepada kita, yang masih mengurniakan kesihatan yang baik, tenaga yang tidak berkurang serta usia yang masih berkesempatan untuk mengecapi nikmat Ramadhan.

Mari menghargai nikmat-nikmat ini dengan melipatgandakan amalan semampu mungkin.

Ala, terawih je tak cukup ke? Malam-malam terakhir ni la nak pulun menyulam baju, menguli kuih raya, menjahit ropol langsir!

Tapi, peluang keampunan dan kerahmatan yang Allah berikan ini, yang belum tentu menjadi milik kita untuk Ramadhan berikutnya, haruskah dilepaskan begitu saja?

Selamat mencari diri di 10 malam terakhir.

Sunday, August 29, 2010

Three


3 years have gone so fast, growing old, sharing all the happiness and tears.


Wahai Yang Maha Pengasih,
dengarlah rayuan hati-hati hamba-Mu ini.

Wednesday, August 25, 2010

Diari ROS 3

Saya sangat berharap dan berdoa agar hari ini lebih baik dari semalam.

Alhamdulillah, Allah mendengar rintihan hati saya.

Saya menerima memo guru ganti lagi hari ini. Juga mengawas peperiksaan pra-PMR. Dan kali ini, saya yang akan memulakan peperiksaan berkenaan. Selalunya saya hanya menyambung pengawasan dari guru sebelumnya, dan giliran saya tamat sebelum peperiksaan berakhir, jadi agak mudahlah kerja saya.

Jenuhlah saya mengingat kembali apakah prosedur-prosedur yang guru-guru saya pernah buat dulu setiap kali hendak memulakan peperiksaan.

Ya Allah, bantulah aku dalam setiap detik urusanku. Hanya pada-Mu aku bergantung harap.

Jam 11.35, saya masuk ke Tingkatan 3 Ibnu Hayyan dengan sebeban kertas peperiksaan Geografi. Pelajar-pelajar masih dengan buku-buku mereka, menelaah di saat-saat terakhir.

Selepas memberi salam, ketua kelas seperti biasa akan membacakan doa. Tapi tiba-tiba saja doa diaminkan tanpa sempat saya mendengar apa-apa kalimah dibaca.

"Aik, mana doanya?"

"Dah habis cikgu!"

"Macamana saya nak aminkan doa kalau saya tak dengar. Sekali awak semua doakan saya tersadung tangga, matilah saya kalau saya aminkan," saya sengaja menyakat mereka, cuba hendak meredakan kelat-kelat stress yang terlukis di wajah sesetengahnya.

Lalu mereka beramai-ramai dengan sepakat membawa berkatnya mengulang doa berkenaan, dengan nyaring sekali. Hendak terketawa pun ada, memang susah betul untuk saya buat riak wajah serius kalau mood saya tengah baik.

"Amiiiinnn." Saya mengaminkan doa mereka.

"Terima kasih kerana baca doa, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan awak semua, diterangkan hati untuk jawab periksa."

"Amiiiiiiinnn." Mereka mengaminkan doa saya pula.

"Baiklah, simpan semua buku, nota, contengan, atau apa-apa yang berkaitan dengan Geografi. Semua dah habis baca kan?"

"Belum cikgu, susahlah!" Seorang pelajar lelaki menjawab sambil menggaru-garu kepalanya.

"Doa dan cuba dulu, ni kan dah pra-PMR. Dah banyak kali exam kan? Kalau tak boleh, baru keluarkan senapang, M16, machine gun untuk menembak!"

Beberapa pelajar tersengih-sengih memandang saya. Tanpa berlengah saya segera mengagihkan kertas soalan dan jawapan sebelum terus memulakan peperiksaan.

"Cikgu, soalan saya tak cukup!" Seorang pelajar lelaki mengangkat tangan.

"Soalan yang mana?"

"Soalan 61 cikgu!" Jawabnya sambil tersengih-sengih. Seisi kelas ketawa. Tiba-tiba saya teringat yang kertas Geografi PMR hanya mempunyai 60 soalan sahaja.

"Soalan 61 reka sendirilah. Awak pandai kan?" Saya membalas dengan nada yang sengaja disiniskan.

Kena lagi aku!

Oh, betapa perlunya kemahiran komunikasi dan psikologi dengan pelajar!

Peperiksaan akhirnya berlalu baik sehingga guru berikutnya datang untuk menggantikan tempat saya.


Moral untuk hari ini, saya perlu belajar untuk mengawal riak wajah, agar kelihatan sedikit serius dan bukannya budak mentah yang berani digula-gulakan oleh pelajar, dan saya perlu mendalami kemahiran komunikasi dan interaksi dengan pelajar. Segera!

Monday, August 23, 2010

Diari ROS 2

Hari ini hari kedua saya menjalani ROS.

Hari ini saya belajar tentang satu perkara. Belajar menjadi rumput.

Pagi-pagi lagi saya menerima memo guru ganti untuk mengawas peperiksaan pra-PMR tingkatan tiga. Waktu pengawasan saya, yang tertera di jadual berkenaan ialah pada 10.40 pagi.

Jam 10.20 pagi, saya membantu beberapa orang guru sains menyusun kertas soalan peperiksaan Sains di bilik guru. Sedar yang saya ada lebih kurang 15 minit sebelum naik ke kelas tingkatan tiga, lima minit lebih awal kerana saya tidak mahu membuatkan guru yang bertugas sebelum saya menunggu terlalu lama.

Kemudian ada dua orang pelajar datang.

"Cikgu, siapa yang jaga kelas 3 AF? Cikgu A dah lama tunggu."

Cikgu B, yang menyerahkan memo guru ganti kepada saya pagi tadi, menjawab bagi pihak saya,

"Pukul 10.40 kan? Sekarang baru 10.25. Cikgu ni yang jaga, sekejap lagi dia naiklah."

Dua orang pelajar itu beredar. Selang beberapa ketika saya nampak Cikgu A meluru masuk ke dalam bilik guru.

"Siapa Cikgu ROS 3?" Soalnya dengan kasar sambil bercekak pinggang. (Cikgu ROS 3 adalah merujuk kepada saya.)

"Saya."

"What are you doing here? You're supposed to be in the class right now kan?" Wah, bukan main lagi dia 'menyembur' saya di hadapan beberapa orang guru lain, termasuk guru-guru lelaki. Cikgu B yang tadinya membacking saya di hadapan pelajar terus terdiam tak terkata.

Tua tak tua, senior tak senior. Pantang benar aku dengan orang yang marah tak tentu hala atas muka, depan orang macam ni!

Saya keluarkan jadual yang ada pada saya dan tunjukkan padanya.

"I know, but it supposed to be 10.40. I was told that I've to be there by 10.40, so as stated in this memo," saya menjawab, cuba seboleh mungkin mengawal intonasi suara agar tidak berbaur emosi. Walaupun hati saya panas, tapi saya tak mahu menjadi petrol yang menyimbah ke dalam api yang sedang marak.

"Jadual dah berubahlah! I've been waiting for you to take over the class since 10.10. Your friend called you kan? Tak tengok phone ke?!"

Saya menggagau handphone yang silent di dalam beg dengan perasaan geram dan kesal. Memang ada 2 missed calls dari Fasyareena, 5 minit lepas.

Apalah dosa aku hari ni, isk!

Cikgu B yang menyerahkan memo guru ganti kepada saya tadi cuma membisu, dan hanya berpandangan dengan rakannya yang seorang lagi.

Saya malas hendak bersoal jawab lagi.

"Dia tengah buat kerja tadi, manalah sempat nak tengok phone," Alhamdulillah, Cikgu B akhirnya membela saya.

Cepat-cepat saya capai fail dan handbag. Lagi lama saya di sini, lagi terbakar rasanya. Saya takut nanti saya berlaku biadap pula dengan orang yang sepatutnya saya hormati. Baran saya pun boleh tahan juga, jadi baik saya angkat kaki!

"I'm really sorry if that was my mistake. Saya hanya ikut memo yang dapat dari PK 1, kalau saya dah salah faham, saya minta maaf."

Cikgu A berlalu pergi sebelum sempat saya habis berkata-kata. Cikgu B memandang saya. Ada raut simpati di wajahnya.

"Sabarlah, kita kalau kerja memang akan ada keadaan macam ni," pesannya.

"Tak apa Kak B. Saya faham."

Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa. Mungkin ini 'pelajaran' untuk saya hari ini, bahawa itulah realiti kerja yang akan saya hadapi tidak lama lagi.

Saya bersyukur, kerana sekurang-kurangnya saya mampu bersabar dan memegang utuh pesanan emak pagi tadi sebelum saya keluar ke sekolah,

"Jangan tunjuk besar kepala, kita orang baru kena bersedia untuk ditegur. Kalau ada apa-apa, kawal marah tu sikit."

Jangan berat untuk menundukkan ego. Jangan berat untuk merendah diri. Tapi jangan takut untuk menyuarakan prinsip yang benar.

Jadi seperti rumput yang melata di bumi, duduknya merendah namun tak luruh dipukul ribut!

Sunday, August 22, 2010

Diari ROS 1

Hari ini saya memulakan tugas sebagai pemerhati di SMK Ismail Petra, dan akan berada di sini selama 9 hari untuk Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) bagi memenuhi syarat-syarat lulus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah yang sedang saya ikuti, dan juga bagi melayakkan saya menjalani praktikum Januari depan, dan seterusnya memberikan lesen kepada saya untuk menjadi seorang pendidik.

Hujan renyai sepanjang hari ini. Semendung semangat saya kepada dunia keguruan ini.

Saya sepatutnya melangkah ke sekolah pagi ini dengan perasaan penuh teruja, tapi sejujurnya, ia hampir menjunam ke paras kosong. Ya, kosong!

Ya Allah, berilah sedikit kekuatan kepada saya untuk melangkah.

Alhamdulillah, pentadbir sekolah dan guru-guru (ie teman-teman sepejabat baru) semuanya memberikan kerjasama dan semangat yang cukup padu. Saya dapat ramai teman baru di kalangan guru-guru perempuan di bilik guru, baik yang sudah masuk kategori senior mahupun yang masih muda, semuanya tidak lekang dengan pelbagai nasihat untuk orang baru yang masih hijau seperti saya.

Sepanjang hari ini kerja saya bersama Fasya dan Fatihah banyak bertumpu kepada school tour dan sesi fotografi, selain diminta bertugas mengawas peperiksaan pra-PMR tingkatan tiga dan menolong guru-guru sains menyediakan kertas soalan peperiksaan.


Tiap patah doa kesejahteraan mulia "Assalamualaikum cikgu!" yang diucapkan oleh para pelajar yang berselisih bahu dengan saya, melahirkan satu perasaan yang tidak mampu saya ungkap dengan kata-kata.

Pengalaman baru, semestinya untuk setiap saat yang berlalu. Saya mengharapkan hari seterusnya lebih baik lagi, dan akan kembali menaikkan semangat saya yang senipis sel epitelium ini.

Berkali-kali saya memotivasi diri sendiri.

You're doing such a noble job. Allah will count every single word that you teach to your students, insyaAllah. Ikhlaskan niat, semoga ini ketentuan yang terbaik untuk diri, semoga apa yang saya buat ini akan menjadi pemberat timbangan amal saya di akhirat nanti!

Siaran langsung dari bilik guru SMK Ismail Petra

Friday, August 20, 2010

This Is Me


Tuesday, August 10, 2010

The Teacher's World, Here I Come

Welcoming myself to the whole new world, totally entirely different.

Hari ini Kedah cuti Awal Ramadhan, alhamdulillah. Bolehlah bernafas dan berkemas 'dorm' dulu sebelum mula kuliah Ilmu Pendidikan esok. Moga Allah mudahkan segala urusan.

Selamat berusaha menjadi skema kepada diri sendiri, untuk menjadi warga IPG yang berwibawa dan berintegriti.

ps : Perkataan 'integriti' telah disebut lebih 80 kali semasa taklimat Pelan Integriti Nasional Minggu Pengurusan Pelajar Baru.