Saya sangat berharap dan berdoa agar hari ini lebih baik dari semalam.
Alhamdulillah, Allah mendengar rintihan hati saya.
Saya menerima memo guru ganti lagi hari ini. Juga mengawas peperiksaan pra-PMR. Dan kali ini, saya yang akan memulakan peperiksaan berkenaan. Selalunya saya hanya menyambung pengawasan dari guru sebelumnya, dan giliran saya tamat sebelum peperiksaan berakhir, jadi agak mudahlah kerja saya.
Jenuhlah saya mengingat kembali apakah prosedur-prosedur yang guru-guru saya pernah buat dulu setiap kali hendak memulakan peperiksaan.
Ya Allah, bantulah aku dalam setiap detik urusanku. Hanya pada-Mu aku bergantung harap.
Jam 11.35, saya masuk ke Tingkatan 3 Ibnu Hayyan dengan sebeban kertas peperiksaan Geografi. Pelajar-pelajar masih dengan buku-buku mereka, menelaah di saat-saat terakhir.
Selepas memberi salam, ketua kelas seperti biasa akan membacakan doa. Tapi tiba-tiba saja doa diaminkan tanpa sempat saya mendengar apa-apa kalimah dibaca.
"Aik, mana doanya?"
"Dah habis cikgu!"
"Macamana saya nak aminkan doa kalau saya tak dengar. Sekali awak semua doakan saya tersadung tangga, matilah saya kalau saya aminkan," saya sengaja menyakat mereka, cuba hendak meredakan kelat-kelat stress yang terlukis di wajah sesetengahnya.
Lalu mereka beramai-ramai dengan sepakat membawa berkatnya mengulang doa berkenaan, dengan nyaring sekali. Hendak terketawa pun ada, memang susah betul untuk saya buat riak wajah serius kalau mood saya tengah baik.
"Amiiiinnn." Saya mengaminkan doa mereka.
"Terima kasih kerana baca doa, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan awak semua, diterangkan hati untuk jawab periksa."
"Amiiiiiiinnn." Mereka mengaminkan doa saya pula.
"Baiklah, simpan semua buku, nota, contengan, atau apa-apa yang berkaitan dengan Geografi. Semua dah habis baca kan?"
"Belum cikgu, susahlah!" Seorang pelajar lelaki menjawab sambil menggaru-garu kepalanya.
"Doa dan cuba dulu, ni kan dah pra-PMR. Dah banyak kali exam kan? Kalau tak boleh, baru keluarkan senapang, M16, machine gun untuk menembak!"
Beberapa pelajar tersengih-sengih memandang saya. Tanpa berlengah saya segera mengagihkan kertas soalan dan jawapan sebelum terus memulakan peperiksaan.
"Cikgu, soalan saya tak cukup!" Seorang pelajar lelaki mengangkat tangan.
"Soalan yang mana?"
"Soalan 61 cikgu!" Jawabnya sambil tersengih-sengih. Seisi kelas ketawa. Tiba-tiba saya teringat yang kertas Geografi PMR hanya mempunyai 60 soalan sahaja.
"Soalan 61 reka sendirilah. Awak pandai kan?" Saya membalas dengan nada yang sengaja disiniskan.
Kena lagi aku!
Oh, betapa perlunya kemahiran komunikasi dan psikologi dengan pelajar!
Peperiksaan akhirnya berlalu baik sehingga guru berikutnya datang untuk menggantikan tempat saya.
Moral untuk hari ini, saya perlu belajar untuk mengawal riak wajah, agar kelihatan sedikit serius dan bukannya budak mentah yang berani digula-gulakan oleh pelajar, dan saya perlu mendalami kemahiran komunikasi dan interaksi dengan pelajar. Segera!
No comments:
Post a Comment