Wednesday, January 5, 2011

2000 + 11

Kasihan kamu.

Dah lama saya tak bercerita apa-apa kepada kamu. Sesungguhnya sejak pulang ke tanah air Julai lalu, kekangan masa amat dekat dengan saya. Saya ketandusan waktu lapang. Pun begitu, saya tidak pasti apa yang saya sibukkan sebenarnya.

Kalau kamu nak tahu, kehidupan ini tak pernah semudah yang disangka.

Mungkin saya selalu petik jari merancang itu dan ini, melihat masa depan dengan yakin dan pasti, seolah-olah seperti sayalah yang mengatur hidup saya sendiri. Tapi saya lupa yang Allah jauh lebih hebat perancangannya. Dan saya lupa, yang saya bukanlah sesiapa untuk menentukan bahawa dalam hidup ini, saya boleh memilih jalan mana yang saya sukai dengan semudah-mudahnya.

Setinggi langit saya memasang angan, dan setara itulah juga saya jatuh tanpa keseimbangan.

Kesannya, semestinya sakit bukan?

Allah masih sayangkan saya, kerana itulah Dia menyelamatkan saya lari jauh dari anganan yang tidak berkesudahan.

Kehidupan bukanlah boleh dilakar-lakar lariannya.

Saya tidak tahu apa ada pada 2011 untuk saya.

Praktikum selama 10 minggu bermula 30 Januari, diikuti peperiksaan akhir semester dan menamatkan kursus. Diikuti panggilan ke kursus induksi, dan mungkin juga BTN. Dan akan memulakan kerjaya secara rasmi, sebagai pendidik, sekitar akhir Julai atau awal Ogos insyaAllah.

Cuma saya masih dalam dilema untuk membuat keputusan ke manakah saya mahu melangkah.
Pilihan emak, mahukan saya berkhidmat di kampung halaman, sedang hati meronta untuk merantau. Lembah Klang, mungkin tidak akan termasuk dalam senarai pilihan. Jiwa saya tidak betah untuk tinggal dan berkhidmat di kota.

Saya serahkan hanya kepada-Nya untuk menentukan. Saya yakin, ketentuan-Nya adalah yang terbaik.

Kalau kamu hendak tahu,

Kehidupan ini sentiasa penuh dengan kejutan dan tanda tanya. Juga cabaran yang tiada penghujungnya.

Berdoalah, semoga Allah memegang hati-hati kita sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment