Saturday, January 8, 2011

Hujung Minggu

Hujung minggu, waktu yang paling sangat saya nantikan. Hanya waktu inilah dapat mengurus diri, berehat, membaca buku kegemaran dan membebaskan fikiran saya yang selalu saja semak.

Pagi Jumaat, awal-awal pagi lagi keluar menikmati roti telur dan secawan nescafe panas di kedai mamak. Kemudian terus ke Tasik Darulaman, untuk membuat halaqah. Seronok juga sesekali berusrah di tempat awam begini, kerana selalunya usrah kami hanya di bilik asrama saja. Liqa' kali ini kami berbicara tentang rezeki dan syukur. Berkait dengan isu kelewatan menerima elaun, sehingga masing-masing mulai merungut kerana ada banyak perkara yang perlu dilunaskan. Saya juga tidak terkecuali, kerana selain sudah menanggung ansuran kereta setiap bulan, saya juga hendak menghulur seratus dua kepada adik-adik yang masih di universiti dan sekolah bagi meringankan beban ayah di musim-musim awal persekolahan ini, servis kereta, hendak update antivirus laptop dan sebagainya.

Study circle - 3 dari 5

Apa yang saya insafi pada pagi Jumaat ini, mungkin saya tidak mewah dari segi wang kerana sedar saya punya tanggungjawab yang besar, tapi Allah mengurniakan saya nikmat kesihatan yang berpanjangan dan macam-macam lagi yang tentunya tidak mampu saya senaraikan. Alhamdulillah. Mari jadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Selesai berusrah, pergi ke Alor Setar bersama partner praktikum saya Anis untuk meninjau sekolah. SMKA Kedah di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, lebih kurang 20 minit dari Jitra. Mungkin kami perlu turun lebih awal, bermula pagi 30 Januari ini, kerana jalanraya mungkin sesak. Selesai ke SMKA Kedah, kami menghala pula ke SMK Sultanah Bahiyah sebelum singgah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, yang juga merupakan tempat praktikum teman sekelas kami.

Kolej Sultan Abdul Hamid yang sungguh kolonial dan klasik

Kembali ke asrama sekitar 12 tengahari, selepas Zohor saya ke Alor Setar lagi, kali ini pergi berlima. Lama juga saya menghabiskan masa memilih buku di Popular Star Parade sebelum memilih yang terbaik. Rindu untuk memborong buku di Amazon UK yang semurah 1 pence pun ada. Serius buku mahalllllllll di Malaysia!

Weekend depan, saya cuti 3 hari kerana Ahad adalah Hari Keputeraan Sultan Kedah. Tak sabar!

No comments:

Post a Comment