Monday, August 1, 2011

Berhibur : Bersederhana & Dalam Batas Agama


Amni Safiah tag saya di Facebook, pada sekeping poster yang tertera tajuk Bicara Selebriti, yang menampilkan panelis-panelis hebat. Tempatnya, dalam daerah saya ini juga. Dalam hati saya berkata, oh saya mesti pergi! Mesti! Semacam sudah menjatuhkan hukum wajib pula kepada diri sendiri untuk pergi. Sejujurnya, saya sudah lama tidak menghadiri majlis ilmu, sejak balik ke rumah. Terasa benar hausnya spiritual saya kebelakangan ini, kerana seringkali berasa serba tidak kena pada diri akhir-akhir ini. Allahu.

Saya amat berharap dan berdoa, agar mak dan ayah tiada halangan untuk membenarkan saya dan adik, Syahirah untuk menghadiri forum berkenaan. Risau juga kalau-kalau mak tidak benarkan, tambahan pula waktunya malam, dan sudah tentulah tamatnya pun di tengah malam. Tapi Alhamdulillah Allah mendengar suara hati saya, mudah saja mak memberi izin untuk saya pergi!


Live on stage - Dr. MAZA (bekas mufti Perlis), Wardina Safiyyah, akhi Amin Idris (TV Al-Hijrah, ex-Falahiah), Sham Kamikaze & Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com)

Pengisiannya, Alhamdulillah mantap-mantap belaka. Kupasan isu, perkongsian pengalaman, ulasan dibuat dalam suasana yang sangat santai tetapi amat bermakna. Apart from punctuality, saya berikan lima bintang untuk pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan program seumpama ini. Ramai yang hadir memenuhi ruang di Balai Islam Lundang, yang kebanyakannya adalah golongan muda yang cintakan ilmu dan agama. Islam bukanlah agama yang melarang hiburan, tetapi mestilah mengikut lunas dan batas syariatnya, serta bersederhana. Ianya sesuatu yang sangat indah. Syukur kerana negeri kesayangan saya ini dinaungi oleh pemimpin yang tidak jumud sehingga menutup semua ruang hiburan, tetapi tidak pula terlalu terbuka sehingga halal haram semua dibolehkan! Kalau pemimpin yang seumpama ini pun kau masih tak mahu, maka kau patut rasa malu pada kucing di jalanan.

Moderator saudara Amin Idris berjaya mengemudi forum dengan amat santai, tidak terlalu formal hingga membuatkan audiens bosan, dan saya percaya beliau yang merupakan lulusan undang-undang ini bukanlah sebarangan individu. Dr. Asri, yang amat saya hormati pandangan dan tulisan minda tajdid beliau, telah berjaya mengupas dan mengulas setiap persoalan dan isu berkaitan hiburan dan Islam dengan penjelasan yang mudah difahami. Ustaz Hasrizal, ini kali kedua saya mengikuti program bersama beliau - kali pertama lama dulu pada Perhimpunan Ukhuwah Insaniyah Seluruh Ireland (PUISI) 2007 di Waterford - dan sebagai follower setia Saifulislam.com, sudah tentulah saya amat menantikan perkongsian dari beliau. Wardina Safiyyah dan Sham Kamikaze - dua insan hebat, dua insan yang dipilih Allah untuk disuluh jalan hidayah-Nya - dan apabila mendengar perkongsian dari mereka, terasa malu diri ini dengan istiqamah dan keazaman mereka untuk berubah. Sedangkan saya, Allah telah pilih untuk menimba ilmu agama di SMKA, sudah punya asas tetapi, sejauh mana sahajalah saya memanfaatkan itu semua untuk kehidupan saya dan orang lain. Allahu Allah, ampunkanlah segala khilaf hamba-Mu yang lemah ini. Semoga hari esok lebih baik untuk kita semua berbanding sebelumnya.

Saya kongsikan di bawah ini, rakaman video forum berkenaan. Apa yang baik, ambillah manfaatnya. Kalaupun tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa.

Bicara Selebriti Hari Hiburan Islam

No comments:

Post a Comment