Sunday, October 11, 2009

Tangan yang Memberi Dikasihi Allah!

Memberilah, kerana itu akan membuat hidupmu lebih bererti.
Wang, tenaga, masa, bakat, kata-kata, ilmu, khidmat, teguran, material - apa saja yang membawa kebaikan - walaupun sekadar segaris senyuman.
Memberi tanda mensyukuri, kerana segala kurniaan Tuhan itu bukanlah hak total peribadi.
Segala nikmat yang ada di sekeliling kita, adalah untuk dikongsi.


Apa saja pemberian yang kita hulurkan, bukanlah berapa besar nilainya yang diambil kira, tetapi yang paling mahal di sisi-Nya adalah harga sebuah keikhlasan, yang tidak dapat dizahirkan.
Siapalah yang mahu buat sesuatu dengan sia-sia dan tidak mendapat penghargaan, inikan pula penghargaan dan penerimaan dari Tuhan atas apa yang telah kita berikan. Rugilah kalau terlepas kan?

Benar, melahirkan ikhlas itu susah, umpama memerah air dari batu, apalagi jika memberi dengan keterpaksaan. Tetapi, cubalah tanamkan jauh di lubuk hati, bahawa setiap yang ikhlas itu menenangkan. Setiap yang ikhlas itu dipandang Tuhan dan mendapat nilaian dari sisi-Nya, percayalah!

Memberi janganlah pula minta dibalas. Kelak sekiranya tidak mendapat balasan seperti yang diharapkan, akan hanya merobohkan benteng keikhlasan. Akan berlakulah ungkitan, dan seribu macam "kalau". Jangan juga memberi untuk mendapat nilaian manusia semata sehingga sanggup mengenepikan nilaian-Nya. Buat membazir saja!

Jadi, berilah dari hatimu. Sharing is caring.

Semoga ayat-ayat Allah dan sabda Rasulullah ini menjadi perangsang untuk kita semua terus menjadi insan yang tidak jemu memberi.

فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ

"Dan berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebajikan..." [2:148]

وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

"Sesungguhnya Allah kasih kepada orang-orang yang berbuat kebaikan." [3:148]

"Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dari neraka. Orang yang bakhil pula jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka. Dan orang jahil yang pemurah itu lebih disukai Allah dari ahli ibadah yang bakhil." [Riwayat Tirmizi]

"....Dan tangan yang di atas itu lebih baik dari yang di bawah." [Riwayat Muslim]

Makanya, apa yang nak ditunggu lagi? Tak mahukah kita menjadi antara tangan-tangan yang dikasihi Allah?

Dipetik dari Bawa Hatimu Kepada Tuhan, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah

No comments:

Post a Comment