Wednesday, April 28, 2010

Suara Hati Ibu


Hari ini 28 April. Ulangtahun kelahiran mak yang ke 47. Pagi tadi saya termenung panjang mengenangkan masa yang begitu cepat berlalu. Sedar tak sedar, usia mak dah menghampiri angka 50, dan saya pun apa kurangnya, tentu saja usia saya turut berkadar terus dengan usia mak.

Pagi ini saya menelefon rumah lagi. Seperti biasa, saya memang 'hantu' menelefon rumah. Dua, tiga hari sekali (atau kadang-kadang setiap hari) memang tak sah kalau telefon rumah tak berdering sebab saya.

Dan mak seperti biasa, tak pernah sekali sepanjang tiga tahun saya di perantauan ini saya mendengar suaranya jemu atau bosan bila mendengar saya bercerita atau bertanya itu dan ini di telefon. Kami berkongsi segala rahsia, tawa dan air mata. Dan mendengar suara mak, adalah penawar mujarab untuk saya di kala tekanan belajar datang tanpa henti.

Tapi pagi tadi, mak meluahkan sesuatu kepada saya.

"Hehe..mak! Orang telefon lagi! " Saya menjerit riang di corong telefon, seakan-akan mak ada di depan saya.

"Tak apa. Telefonlah banyak mana kak nak pun. Nanti bila dah masuk kerja, dah kahwin esok-esok, sibuk, kak nak telefon mak seminggu sekali pun susah agaknya."

Saya terdiam. Perasaan saya tersentuh.

"Kalau orang kena kerja atau belajar jauh lagi, orang akan telefon mak selalu, macam sekarang, macam selalu insyaAllah. Kalau duduk dekat, boleh balik selalu, orang kan perumah..." saya cuba bergurau untuk menutup pilu yang mula menggigit hati.

"Tapi bila sampai masanya nanti, mak tetap kena lepaskan anak-anak. Bila dah kahwin, semua anak-anak perempuan kena utamakan suami."

Mendengarkan ini, sebak saya tidak terbendung lagi.

Mak telah meluahkan suara hatinya. Mak telah menzahirkan perasaannya bahawa dia seolah-olah telah bersedia untuk berdepan dengan suatu keadaan di mana anak-anak tidak akan berada di sisinya lagi sepanjang masa. Mak telah menyuarakan kebimbangan nalurinya akan betapa sunyinya kehidupan di hari tuanya nanti tanpa kami menemani di sisi setiap hari.

Mengingatkan ini, saya jadi takut. Saya amat takut kalau suatu hari nanti, saya tenggelam dalam infiniti kerja dan urusan dunia yang tidak berkesudahan hingga menjarakkan saya dari mak dan ayah, dan mengikis ingatan saya akan tanggungjawab terhadap mereka, sedikit demi sedikit tanpa saya sedari. Nauzubillah. Saya memang tidak akan mampu menanggung azab Allah jika saya mencalarkan hati dan perasaan mak dan ayah.

Mak,

Selamat hari lahir! Ampunkan segala dosa anakmu ini, redha mak adalah pintu kepada redha Allah ke atas kak. Walaupun di hari lahir mak ini, kak tidak bersama mak di rumah untuk belikan kek atau buat apa saja yang menggembirakan mak, tapi doa untuk mak takkan pernah putus, dan semoga Allah mendengar dan mengabulkan doa-doa kak untuk mak.

Ya Allah, bantulah kami yang lemah ini untuk menjadi anak yang baik kepada kedua orang tua kami, yang sentiasa menyantuni dan menjaga hati mereka, yang sentiasa meletakkan mereka di tempat teratas selepasMu dan RasulMu, yang sentiasa mengenang budi dan pengorbanan mereka kepada kami, yang sentiasa mengingati mereka dalam doa sujud kami.

Ya Allah, kau ampunilah segala dosa mak dan ayah. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami masih kecil. Limpahkanlah rahmat dan kasih sayangMu kepada mereka dan kurniakanlah mereka kebahagiaan di dunia, dan kebahagiaan yang lebih lagi di akhiratMu yang kekal abadi.




3 comments:

  1. T____________________T

    ReplyDelete
  2. 12.52am 4may 2010.post ini telah membuatkan sy menangis teresak2 cm org gile dlm bilik kecik ini.

    ReplyDelete
  3. salam..salam kenalan....sedihnya,bila baca post yg nih...

    ReplyDelete