Thursday, November 19, 2009

Tuisyen Solat Gajah


Sepanjang 3 bulan setengah bertapa di rumah semasa cuti summer yang lepas, aku memang sangat banyak menghabiskan masa bersama si kecil Gajah, kerana dia yang paling banyak masanya berada di rumah berbanding kakak-kakaknya yang lain.

Setiap hari aku akan mengajak Gajah solat bersama-samaku terutamanya pada waktu Maghrib dan Isyak. Latihan awal untuknya belajar bersolat di rumah, kerana Gajah memang telah belajar teori dan amali solat di tadikanya setiap hari.

Namun belum sempat aku memperturunkan apa-apa ilmu, dia yang sudah lengkap berkopiah terus saja membentangkan sejadahnya di hadapan sejadahku.

"Kenapa pulak Gajah bentang sejadah kat depan sejadah kak? Gajah duduk belakang la. Ataupun duduk tepi. Ikut kak sembahyang."

"Gajah la kena jadi imam. Cikgu kata mana boleh orang perempuan jadi imam untuk budak lelaki. Kak ni tak padan dengan besar, tu pun tak tahu!"

Lalu dengan selambanya dia berdiri tegak di atas sejadahnya, bersedia untuk solat.

"Kak kena ikut Gajah. Jangan rukuk dulu sebelum Gajah rukuk!"

Terus dia mengangkat takbiratul ihram dengan semangatnya.

Aku pun solat seperti biasa. Di belakangnya. Sesekali dia curi-curi menoleh, untuk memastikan samada aku benar-benar mengikut 'imam' atau tidak.

Bacaan dalam solat, Gajah baru lancar al-Fatihah, manakala bacaan-bacaan lain masih ada yang tersangkut-sangkut atau dia lupa dipertengahannya.

Selesai solat, dia telah terlebih dahulu membaca doa tanpa disuruh. Tapi doa makan! Adoi la! Nak tergelak pun ada, tapi aku hanya menahan. Bimbang akan memudarkan semangatnya jika aku asyik menggelakkannya saja. Aku akhirnya memintanya menukar kepada doa penerang hati yang juga dipelajarinya di sekolah, dan kami membacanya bersama-sama.

Selesai saja berdoa, dia bersalam denganku dan terus pura-pura 'bersalam' dengan jemaah lain di sekelilingnya.

"Gajah buat apa tu?"

"Salam dengan malaikat la. Cikgu kata, malaikat pun sembahyang jugak sama-sama dengan kita."

Dush!

"Esok Gajah sembahyang lagi OK. Kita kena rajin sembahyang, baru Allah sayang."

"Allah tu siapa sebenarnya?" Ish budak ni. Soalan aqidah pulak. Salah jawab, bahaya ni.

"Allah tu Tuhan kita, Dia yang cipta semua. Cipta kak, cipta Gajah, mak, ayah, orang lain, binatang, pokok, semua la Allah cipta. Sebab tu kita kena sembahyang."

"Allah tu duduk kat mana?"

Aku terdiam. Macamana aku nak jawab ni.

"Allah ada di mana-mana, sebab Allah boleh perhatikan semua makhluknya."

"Mana ada. Allah duduk atas langit la kak."

Adeh...mau tak mati akal aku dibuatnya.

Oleh kerana setiap hari pun kami bersolat bersama, maka menjadi masalah pula bilamana datang masa uzur syari'e.

"Gajah sembahyang dengan mak la hari ni ye. Kak sakit perut la."

"Tak nak sembahyang dengan mak. Mak sembahyang lama. Kak ni, dah besar pun malas sembahyang. Cepatla kak, Gajah tunggu ni."

"Gajah sembahyang la dulu OK, tak payah tunggu kak." Tengok, betapa 'cerdik'nya jawapan aku. Huhuhu.

"Kak ni malas sembahyang la tu. Cikgu kata, orang sakit pun kena sembahyang la. Kalau Allah marah Gajah tak tahu. Nanti Gajah nak beritahu malaikat jangan kawan dengan kak sebab kak tak sembahyang." Gajah dah 'naik minyak' nampaknya. Mata pun dah mula berair sebab aku tetap enggan untuk bersolat bersamanya. Aku pun satu, tak fikir pun apa-apa alasan yang membolehkan Gajah menerima dengan logik akalnya. Mana si kecil tu tak boikot aku.

Akhirnya mak menyelamatkan keadaan.

"Gajah, sembahyang dengan mak hari ni OK. Gilir-gilir. Mak pun nak sembahyang dengan Gajah jugak, dah lama Gajah tak sembahyang dengan mak."

Senang je mak cakap. Terus terpujuk.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya aku bersyukur kerana pada usia sekecil itu, Gajah menunjukkan ketekunannya untuk bersolat, meskipun masih banyak yang perlu dipelajarinya.

Dan Gajah memang sangat sedih sewaktu aku hendak kembali ke sini.

"Kalau kak pergi sekolah England, nanti Gajah nak sembahyang dengan siapa?" Soalnya dengan wajah yang lesu. Ya Allah, berilah kekuatan dan kecekalan pada hati-hati kami.

"Gajah boleh sembahyang dengan mak, ayah, takpun tok. Kalau Abang Abu, Kak Chik atau Kak Teh balik, boleh sembahyang dengan diorang. Tapi Gajah kena janji dengan kak jangan tinggal sembahyang OK? Gajah good kan?"

Dia mengangguk. Dalam matanya yang berkaca, dia menghulurkan jari kelingkingnya ke arahku. Aku menyambutnya. Itu tandanya dia berjanji.

Gajah, semoga dirimu membesar menjadi insan yang selalu meletakkan Allah di dalam hati. InsyaAllah.

2 comments:

  1. sedih pulok aku baco entry ni ring.

    meni

    ReplyDelete
  2. betul tu...sebak aku bace... aku sensitip sket kalau pasal family..

    ReplyDelete