Friday, March 26, 2010

Menjadi Guru Part II

Semakin hampir menamatkan pengajian, kepala saya semakin sesak berfikir.

Benarkah saya akan menjadi pendidik dalam masa kurang setahun dari sekarang?
Sudah cukup ampuhkah mental dan emosi saya untuk terjun berkhidmat dalam arena pendidikan, menghadapi pelbagai lapisan dan ragam manusia?
Sudah cukupkah persediaan saya, untuk mendepani kebejatan sosial yang bukan sedikit masalahnya?

Saya banyak belajar, mendengar dan memerhati dari pengalaman ayah. Kata ayah,

"Pelajar tahun 80-an, awal 90-an, akhir 90-an dan zaman millennium - setiap satunya berubah hampir mendadak. Yang paling akhir, semestinya yang paling teruk. Kalau dulu kebanyakan pelajar mungkin tak pandai belajar, tapi mereka tak kurang ajar, dan lebih mudah dilentur. Zaman sekarang, kebanyakan pelajar mungkin terkehadapan dalam pelajaran tapi sangat kurang ajar dan rendah pula moral dan agamanya."

"Menjadi cikgu, tak cukup setakat masuk kelas, menulis di papan hitam, berleter satu dua jam tentang subjek yang diajar dan keluar. Kita bukan cikgu yang bagus kalau pelajar setakat pintar di atas kertas tapi kosong jiwanya dan hina pula sahsiahnya."

"Kalau dulu-dulu, ayah setakat kejar dan tangkap pelajar yang ponteng kelas, ponteng sekolah dan mencuri. Kes ditangkap sedang berduaan lelaki perempuan, tidak terlalu banyak dan pelajar yang ditangkap dengan sebab ini biasanya akan malu dan sangat rasa bersalah hingga menangis walaupun belum dihukum. Sekarang, kes yang sedia ada masih tetap ada, tambah lagi dengan kes-kes hampir berzina, rokok, pil kuda, video lucah dalam handphone dan macam-macam lagi yang memeningkan kepala dan merisaukan para guru. Bila ditangkap, mereka sudah tidak ada lagi sense of guilty. Hendak dimarah dan dihukum? Silap-silap ayah yang kena turun naik mahkamah."


Saya mengiyakan kata-kata ayah sepenuhnya. Kalaupun ayah bukan seorang guru, pelbagai macam kisah di dada akhbar yang melibatkan pelajar sekolah pada hari ini, sudah cukup untuk menyedarkan saya betapa itulah realiti yang akan saya hadapi nanti.

Sekolah bandar atau sekolah desa, hampir semuanya dijangkiti virus yang serupa. Kecanggihan teknologi telah memamah hancur sahsiah dan jati diri generasi muda.

Itu belum dihitung faktor keruntuhan institusi keluarga.

Semoga Allah memberikan saya kekuatan untuk menggalas amanah yang semestinya saya akan dipersoalkan di hadapan Allah di hari perhitungan kelak. Dunia saya bukan sekadar rancangan persediaan mengajar, buku teks kimia atau mesyuarat panitia semata-mata, tetapi saya bertanggungjawab untuk berusaha sedaya mungkin, mendekati generasi muda ini dan perlahan-lahan menyuluh jalan yang lurus buat mereka.

Ya, tugas berat sedang menunggu saya.

No comments:

Post a Comment