Tuesday, December 22, 2009

Turkey Episode 6 : Tesekkur Edereem!

Hari ini hari terakhir kami berada di tanah Recep Tayyip Erdogan. Selepas bersiap seadanya, kami keluar bersarapan sebentar sebelum kembali ke hotel untuk mengambil beg masing-masing serta melunaskan bayaran penginapan. Tidak lupa bergambar dengan pasangan suami isteri tuan punya hotel yang sungguh baik itu.

Kami menaiki bas menuju ke Otogar (Bus Station) yang sama yang kami tiba sebelum ini. Bas ke Istanbul adalah pada jam 11 pagi. Akhirnya Bursa kami tinggalkan dengan seribu kenangan. Ada rezeki, dapatlah bertandang lagi. Tetapi peluang yang pertama ini, akan menjadi momen manis yang akan dikenang seumur hidup.

Hujan renyai menyambut ketibaan kami di sebuah stesen bas kecil di Istanbul. Kami kemudiannya menaiki teksi pula untuk ke lapangan terbang. Jalan raya agak sesak. Bimbang juga takut-takut terlambat sampai, tapi alhamdulillah, Allah mudahkan segalanya. Kami tiba di Sabiha-Gokcen Airport dalam jangka waktu yang masih awal, bersolat dan kemudian check in. Sempat minum petang dan mengalas perut sebelum berlepas.

Sungguhpun kembara di bumi Uthmaniyyah ini hanyalah lima hari, namun setiap hari yang kami tempuhi dirasakan sungguh bermakna. Terlalu banyak perkara baru yang dipelajari - bukan sahaja mendalami sejarah Turki Uthmaniyyah - tetapi juga belajar erti bersabar dan berukhuwwah.

Tanpa kesabaran, mungkin kelana kami dalam rombongan yang ramai ini (12 orang) akan jadi kucar-kacir. Alhamdulillah, semuanya mampu bertolak ansur walaupun setiap orang lain ragamnya, dan mungkin kerana itulah perjalanan kami yang ramai ini terasa begitu menyeronokkan, dan bukan menyesakkan kepala seperti yang diadu mereka-mereka yang pernah mengembara beramai-ramai sebelum ini.

Aku pernah membaca tulisan Ustaz Hasrizal dalam Saifulislam.com mengenai perihal ini.

Dari riwayat ibn Abi al-Dunya, bagaimana pada suatu ketika Umar mendengar seorang lelaki memuji-muji seorang lelaki lain.

Umar bertanya kepadanya, “Engkau pernah bermusafir dengannya?”

“Tidak pernah,” jawab lelaki itu.

“Engkau pernah bergaul rapat dengannya?” tanya Umar lagi.

“Tidak pernah,” jawab lelaki itu lagi.

“Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya kamu tidak kenal akan lelaki itu!”


Selamat pulang, alhamdulillah.

Bumi Turki selamat kami tinggalkan pada jam 6.30 petang. Selamat tinggal bumi Khalifah, keagungan masa silammu, keramahan pekerti pendudukmu dan keindahan daerahmu akan terus terpahat dalam sanubari kami selama-lamanya.

Tesekkur Edereem!

No comments:

Post a Comment