Hari ini 1 Muharram 1430H. Buat kesekian kalinya, detik masa dengan pantas membawa lagi tahun baru Hijrah ke tabir kehidupan. Lama aku termenung selepas solat Subuh pagi tadi. Saban tahun ada saja semangat yang berkobar-kobar untuk melaksanakan azam baru, yang selalunya tidak pernah sampai hingga ke hujung tahun. Mengapa ya?
Mestikah azam itu diperbaharui di setiap awal tahun sebenarnya?
Suasana musim sejuk pagi Isnin di Brighton Grove, dengan 3 degree, menyambut ketibaan awal Muharram tahun ini. Muhasabah kembali setahun yang sudah berlalu, agar segala yang baik-baik itu dapat dikekalkan, dan segala kesilapan yang telah dilakukan, tidak diulang lagi untuk tahun baru yang penuh makna ini.
Know and distinguish priorities in life. Antara azam tahun ini. Baru aku sedar yang selama ini, sebenarnya aku tidak menyusun dan mengenalpasti perkara yang menjadi prioriti dalam kehidupan. Hidup main belasah saja!
Perbualan telefon dengan mak semalam membuatkan aku berfikir.
"Tak tahulah kenapa, mak. Sekarang rasa hidup dah tak tersusun sangat. Selalu rasa tak semangat nak belajar, ibadah pun sekadar buat yang wajib, nak habiskan baca al-Quran dua tiga muka surat pun rasa lama macam baca satu juzuk, yang sunat-sunat yang lain tak payah cakaplah," luahku kepada mak.
Emak diam seketika. "Kena lawan rasa tak semangat tu! Banyakkan berdoa, dan jangan banyak sangat makan tidur! Banyak makan dan tidur boleh buat kita jadi lembab!"
Adoi, mengena betul tembakan mak!
"Mana ada orang makan tidur banyak kat sini, tu kat rumah je, time cuti!" Sempat lagi aku menjawab dalam versi bela diri. Biasalah, standard degil, kalau mak cakap ada saja benda yang aku nak takwil.
Kali ni mak gelak. Jawapannya simple. "Mak dah kenal kak 21 tahun!"
Dan kata-kata mak terus terngiang-ngiang di kepala sepanjang malam.
Teringat pula aku perbualan dengan Kak Madihah sewaktu kami berdua menunggu pejabat Bursa Information Centre dibuka, pagi Jumaat lalu.
"Ada banyak perkara yang boleh buatkan kita jadi lemah, dan lembab. Satu, sebab banyak sangat habiskan masa dengan perkara tak berfaedah. Perkara-perkara kecik. Sanggup habiskan masa berjam-jam untuk benda-benda yang tak penting. Yang paling dekat dengan kita, contohnya Friendster, Facebook semua tu. Punya banyak masa lapang, sampai boleh main tagging-tagging gambar lagi. Bukan tak boleh, tapi buat yang perlu sudahlah. Dua, banyak sangat gelak. Ketawa tu kan boleh gelapkan hati. Tiga, apa yang kita makan," laju Kak Madihah bersyarah.
Fuh...semuanya tepat mengena kat atas dahi sendiri!
"Even Rasulullah pun dah tunjukkan sebaik-baik dan sejelas-jelas contoh. Baginda makan, tapi berhenti sebelum kenyang. Bersederhana. Dan makan dari sumber yang sepatutnya, yang jelas halalnya. Makan banyak pun boleh buatkan kita jadi lemah, cepat mengantuk, kan?"
Aku mengangguk, mengiyakan.
"Satu lagi, tidur. Lagi-lagi tidur lepas Subuh dan Asar. Bukan saja badan boleh jadi lemah, otak pun jadi lembab. Kalau dah macam ni, macamana nak buat ibadat dengan sempurna, nak belajar dengan baik?"
Dan kata-kata Kak Madihah juga turut sama terngiang-ngiang di kepala sepanjang malam.
1 Muharram. Kalau bukan aku yang menghijrahkan diri sendiri, siapa lagi?
Tiada lain yang aku harapkan, selain sebuah kehidupan yang diiringi barakah dari-Nya di tahun baru ini. Dan keberkatan itu tidak akan datang sendiri, sebaliknya kita yang harus mencari.
Salam Maal Hijrah.
"Ya Allah Ya Tuhan kami,
kami pohon dari-Mu ya Allah,
bantulah kami untuk melalui tahun baru ini
dengan penuh keazaman dan semangat baru,
bantulah kami untuk melalui kehidupan di tahun ini
dengan lebih baik
dari apa yang telah kami lalui
di tahun-tahun sebelumnya.
Kami pohon dari-Mu ya Allah,
janganlah Engkau masukkan kami
ke dalam golongan yang jauh dari-Mu
kerana kesibukan dunia.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati,
tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu,
ampunkanlah segala dosa, kesilapan dan keterlanjuran kami,
kedua ibu bapa kami, guru-guru kami,
dan sesiapa sahaja yang kami kasihi,
serta seluruh umat ini.
Terimalah taubat kami,
terimalah amal ibadat kami,
terimalah doa kami,
jauhkanlah kami dari azab seksa-Mu yang pedih
di dunia lebih-lebih lagi di akhirat,
serta golongkanlah kami dalam golongan
mereka yang beroleh keredhaan-Mu"
No comments:
Post a Comment